Saturday, 1 January 2022

Tindakan tegas terhadap peniaga minyak masak peket bersyarat – KPDNHEP

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga termasuk pemborong dan pembekal yang cuba mengenakan ‘penjualan bersyarat’ bagi minyak masak peket.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan perlakuan itu mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada orang awam termasuk peniaga mengenai penjualan bersyarat iaitu “untuk belian minyak masak peket sekilogram bersubsidi, syaratnya perlu membeli beberapa kilogram gula terlebih dahulu.”

“Pihak kami percaya perkara tersebut mungkin berlaku akibat tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil langkah bagi melariskan jualan barangan mereka dengan menjadikan barang kawalan sebagai pelaris.

“KPDNHEP Kelantan akan menjalankan siasatan sama ada bekalan minyak masak itu mempunyai kaitan dengan aktiviti menyorok bekalan atau penyeludupan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azanizam Affendi juga berkata setakat ini, bekalan minyak masak peket di Kelantan adalah terkawal dan mencukupi kerana pihak berkuasa sentiasa mengambil langkah pemantauan serta pemeriksaan.

“Ia bagi memastikan bekalan adalah sentiasa berada di pasaran … agar tiada penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata minyak masak peket yang dijual disasarkan untuk kegunaan isi rumah bagi memastikan lebih ramai pengguna dapat memperoleh barang kawalan itu.

Peruncit juga dibenarkan untuk mengawal pembelian dengan mengehadkan tiga kilogram sahaja bagi setiap pengguna.

“Sehubungan itu, orang ramai terutama peruncit yang dipaksa terlibat dalam penjualan bersyarat diminta supaya menghubungi KPDNHEP bagi tindakan lanjut serta siasatan segera dijalankan,” katanya.

— BERNAMA

The post Tindakan tegas terhadap peniaga minyak masak peket bersyarat – KPDNHEP first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3zg3G6Y
via Denaihati.com