Wednesday, 7 September 2022

Bagaimana Untuk Mendapat Kemudahan Ketika Hari Hisab Di Akhirat Kelak

Hari Hisab ialah suatu hari di akhirat kelak di mana segala amal manusia akan dikira, diaudit dan diberi balasan. Tidak ada satu pun amalan yang akan terlepas daripada perhatian dan pengetahuan Allah.

Tidak ada orang yang boleh disogok untuk menyembunyikan dosa dan kejahatan yang dibuat. Tidak ada peguam bela yang boleh dibayar dengan wang yang banyak untuk membela kita. Tidak ada orang yang dapat membantu dan melepaskan kita daripada ‘pertuduhan’ ketika di dunia, hatta teman rapat, ahli keluarga atau kaum kerabat.

Pada hari itu, Allah akan menunjukkan keadilan yang sebenar-benarnya yang tidak pernah wujud di dunia.

Jika waktu itu segala perbuatan dibongkar di hadapan Allah SWT, dan kita memiliki dosa lebih banyak daripada pahala, maka siapakah yang dapat menyelamatkan kita?

Rasulullah SAW pernah memberitahu ada beberapa amalan yang jika dilakukan ketika di dunia, Allah akan membebaskan kita daripada kesulitan ketika di akhirat. Berikut antara amalan tersebut:

1. Mengeluarkan Orang Daripada Kesulitan

2. Memberi Kemudahan Kepada Orang

3. Menutup Aib

Kemudahan bagaimana yang akan Allah berikan di akhirat? Pastilah kemudahan yang besar nilainya, kemudahan dan pertolongan yang benar-benar diperlukan oleh seorang manusia yang sedang berhadapan dengan segala macam jenis pertuduhan.

Tiga amalan yang disebutkan di atas adalah bersandarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda:

“Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

Allah akan selalu menolong hambaNya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan mereka akan diturunkan ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisiNya menyebut-nyebut mereka. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).” (HR Muslim, no. 4867 – Status Hadis Sahih)

Bahkan sebenarnya, Allah bukan sahaja akan memberikan kemudahan di akhirat tetapi di dunia.

Bahagian penghujung hadis menyebut juga tentang amalan penting lain yang boleh dilakukan seperti:

1. Keistimewaan Orang Yang Mencari Ilmu

Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan jalan ke syurga.

2. Keistimewaan Orang Yang Berkumpul Di Masjid Untuk Membaca Al-Quran Dan Mempelajarinya

Mereka akan dikurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah menjadikan nama orang ini disebut oleh makhluk yang berada di sisiNya.

Ada banyak cara yang Allah sediakan yang dapat membantu hamba-hambaNya pada hari akhirat. Hanya tinggal kita ingin melakukannya atau tidak. Jangan tunggu sehingga Allah bertanya di akhirat kelak, kerana kita pasti tidak dapat menjawab.

Doa Yang Boleh Diamalkan Di Bulan Safar

TZKRH

The post Bagaimana Untuk Mendapat Kemudahan Ketika Hari Hisab Di Akhirat Kelak first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/OgeHl6T
via Denaihati.com