Kita mengetahui bahawa Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW sedikit demi sedikit mengikut peristiwa atau permasalahan yang berlaku kepada baginda. Maka apa pula maksud Al-Quran diturunkan pada Bulan Ramadan? Adakah Rasulullah menerima wahyu hanya pada bulan Ramadan dan bukan dalam bulan-bulan yang lain?
Pertamanya kita perlu memahami bahawa penurunan Al-Quran ini mempunyai dua peringkat:
Pertama, Al-Quran diturunkan secara sekaligus daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia ‘Baitul Izzah’ pada bulan Ramadan.
Kedua, Al-Quran diturunkan pula secara beransur-ansur selama 23 tahun, dari langit dunia kepada Nabi SAW (mengikut peristiwa, atau persoalan-persoalan yang diajukan oleh umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW)
Penekanan akan diberikan lebih kepada kaedah penurunan yang pertama, sesuai dengan keadaan kita semua yang sedang berada di Bulan Ramadan. Berikut disertakan juga dalil-dalil yang menunjukkan bahawa penurunan Al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.
Dalil Bahawa Al-Quran Berlaku Pada Bulan Ramadan (Khusus Pada 10 Malam Terakhir)
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.. (Surah Al-Baqarah, 2:185)
Seterusnya Allah memperincikan lagi bilakah tarikh sebenar dalam bulan Ramadan, Al-Quran diturunkan melalui ayat ini:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,”(Surah Al-Qadr, 97:1)
Maka jelas di sini bahawa Al-Quran sebenarnya diturunkan pada malam lailatul qadr.
Daripada Aisyah R.anha, beliau berkata Rasulullah SAW beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan beliau bersabda.
تَحَرَّوْا وفي رواية : الْتَمِسُوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِيْ الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ
“Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadan” (Hadits Riwayat Bukhari – 4/225 dan Muslim, no. 1169)
Melalui riwayat Saidina Umar pula, (dia berkata) : Rasulullah SAW bersabda:
الْتَمِسُوْ مَا فِيْ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُ كُمْ أَوْ عَجَزَ فَلاَ يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي
“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya”
Bermakna jangan sampai terlepas daripada tujuh hari yang terakhir.
Berbalik kepada persoalan bilakah Al-Quran diturunkan, maka para pentafsir mengeluarkan pendapat bahawa Al-Quran diturunkan pada salah satu daripada tarikh tersebut. Antara pendapat yang ada adalah seperti berikut:
#1- Pendapat Pertama Mengatakan Bahawa Al-Quran Diturunkan Pada 17 Ramadan
Pendapat ini agak masyhur dan diguna pakai di Malaysia dan Indonesia sehingga dijadikan tarikh cuti umum. Pendapat ini berdasarkan suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan ( dan dikatakan pada 24 Ramadan).
Namun Ibnu Hisyam dalam kitab sirahnya di bawah bab “Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” menukilkan pendapat Ibnu Ishaq yang memilih tanggal 17 Ramadan.
Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadan. Allah Azza Wajalla berfirman ( maksudnya ): Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza ( antara yang haq dan yang batil ). Dan Allah Ta’ala berfirman ( maksudnya ): Sesungguhnya Kami menurunkannya ( Al-Qur’an ) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman ( maksudnya ): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah ( yang dimaksudkan) pertemuan(peperangan ) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu ( memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadan…
#2- Al-Quran Diturunkan Pada 21 Ramadan (Isnin)
Pendapat ini dipilih oleh Syeikh Mubarakfuri. Antara alasan beliau adalah seperti berikut:
1. Majoriti ulama Sirah sepakat berpendapat bahawa Nabi SAW diutuskan menjadi seorang nabi dan rasul pada hari Isnin berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim iaitu;
“Daripada Abu Qatadah r.a. bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa sunat pada Isnin. Baginda menjawab maksudnya: “Isnin adalah hari aku dilahirkan, dan Isnin juga hari aku diutuskan”. (Riwayat Muslim, Ahmad, al-Baihaqiy dan al-Hakim)
2. Hari Isnin pada tahun Nabi SAW diutuskan menjadi rasul jatuh sama ada pada hari 7 Ramadan, 14 Ramadan, 21 Ramadan dan 28 Ramadan. Hadis sahih tentang Lailatul Qadr (seperti yang telah disebutkan pada awal artikel ini) pula menyebutkan bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadan.
3. Setelah dibuat perbandingan dan kajian perhitungan taqwim, berdasarkan ayat al-Quran dan juga riwayat Abu Qatadah tersebut, beliau menyimpulkan bahawa baginda diutuskan wahyu (Al-Quran) tersebut pada malam 21 Ramadan.
#3- Al-Quran Diturunkan Pada 24 Ramadan
Pendapat ketiga pula berdasarkan hadis berikut:
Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an ) pada 24 Ramadan.
Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadis ini sebagai sahih.
Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada menyebut hadis ini dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadan.
Imam Al-Qurtubi pula menyebut hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas juga diguna pakai sebagai dalil dan hujah oleh Imam Hasan al-Basri dalam menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadan.
Kesimpulan
Daripada keterangan yang telah dinyatakan di atas, persoalan tentang tarikh sebenar Al-Quran diturunkan dapat diringkaskan seperti berikut:
1. Pendapat pertama yang menyatakan Al-Quran turun pada 17 Ramadan sekalipun dipegang oleh ramai orang, namun bercanggah dengan riwayat yang sahih yang mengatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada 10 malam terakhir.
2. Pendapat kedua yang mengatakan Al-Quran pada 21 Ramadan pula adalah merupakan pendapat dan perkiraan kajian Syeikh Mubarakfuri sendiri.
3. Pendapat ketiga yang mengatakan Al-Quran turun pada 24 Ramadan pula dilihat paling kuat dan ada disebutkan dalam kandungan hadis sahih. Ia juga diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis sendiri.
Para ulama, ahli tafsir serta ahli sejarah membincangkan tarikh diturunkan Al-Quran kerana keprihatinan dan cinta kepada Al-Quran. Walaupun setiap daripada mereka mempunyai sandaran hujah yang berbeza, namun ruang perbincangan sebegini adalah ruang perbincangan yang penting dalam usaha mencari kebenaran.
TZKRH
The post Pendapat Ulama mengenai tarikh bila diturunkan Al-Quran first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/XKvNohc
via Denaihati.com