Friday, 30 June 2023

Apa itu hari Tasyriq di bulan Zulhijjah?

Hari Tasyriq merupakan tiga hari setelah Hari Raya Aidiladha, iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Pada hari-hari ini, umat Islam tidak berpuasa dan dianjurkan untuk memperbanyakkan zikir, termasuk takbir dan bersedekah.

Apabila tibanya bulan Zulhijjah, ada satu terma yang sering kita dengar, iaitu Hari Tasyriq. Selalu kita dengar hari Arafah, hari korban, tetapi apa itu hari Tasyriq?

Hari Tasyriq dimaksudkan dengan hari untuk makan dan minum. Dari Nubaisyah Al-Hudzali, Baginda SAW bersabda:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksud: “Hari-hari tasyriq adalah hari makan dan minum.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1141)

Maka, pada hari Tasyriq ini, umat Islam diharamkan untuk berpuasa kerana ia adalah untuk meraikan hari raya Aidiladha. Ia bertarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah, iaitu selepas hari raya Aidiladha.

Perkataan tasyriq berasal dari bahasa Arab yang bermaksud matahari terbit. Dan ada juga yang mengertikannya dengan menjemur sesuatu.

Imam Nawawi berkata – “Hari Tasyriq adalah tiga hari selepas Aidiladha, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia disebut tasyriq kerana bermaksud menjemur daging korban di terik matahari. Dalam hadis disebut bahawa ia adalah hari untuk memperbanyak zikir, iaitu takbir dan lain-lain.” (Syarh Sahih Muslim, 8:18)

Jika dilihat melalui Imam Nawawi, ia adalah hari di mana daging dijemur di bawah terik matahari. Yang dimaksudkan di sini ialah pada zaman Baginda SAW, mereka akan menjemur daging-daging yang disembelih untuk mengawetnya agar tidak mudah rosak.

Hal ini kerana, zaman tersebut tiada peti sejuk dan cara yang paling mudah untuk mengekalkan daging itu agar boleh tahan lama adalah dengan mengawetnya.

Ada sebahagian ulama lagi yang menyebut bahawa ia adalah hari yang diagungkan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Mafhum: “Dan sebutlah kamu akan Allah (denga takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya.” (Surah Al-Baqarah, 2:203)

Itulah yang dimaksudkan dengan kebesaran pada hari tersebut, iaitu untuk mengagungkan Allah. Pada tarikh-tarikh ini juga, jemaah Haji menginap di Mina (pada malam 11 Zulhijjah).

Mereka juga boleh memilih untuk meninggalkan Mina selepas melempah jamrah pada waktu siang (iaitu 12 Zulhijjah) atau boleh menetap di Mina sehingga siang 13 Zulhijjah.

Antara amalan yang sesuai dilakukan pada hari Tasyriq ini ialah memperbanyakkan zikir, bertakbir dan bersedekah.

Inilah keistimewaan hari Tasyriq yang dapat kita lihat. Ia bukanlah bermaksud pada hari-hari lain kita tidak mengagungkan Allah, namun pengagungan tersebut adalah dilebihkan pada hari Tasyriq.

TZKRH

The post Apa itu hari Tasyriq di bulan Zulhijjah? first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/4QnvbjI
via Denaihati.com