BERSELISIH faham dan tidak sependapat walau sudah bercerai sekalipun, ia bukanlah tiket untuk seseorang membuka aib pasangan masing-masing.
Apatah lagi suami atau isteri itu pernah melayari hidup bersama sebelum ini.
Jika aib diri tidak boleh dibuka, begitu jugalah dengan cela orang lain. Ini kerana ia melibatkan air muka seseorang.
Malangnya, apabila tidak berpuas hati dengan pasangan, mulut atau jari lebih cepat bertindak berbanding akal fikiran yang waras. Satu persatu aib pasangan dilondehkan.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membuka aib pasangan adalah larangan yang besar lantaran kesannya yang menggugat keutuhan sesuatu institusi rumah tangga.
“Institusi rumah tangga sepatutnya menjadi tempat lahirnya dan terdidiknya insan yang menjadi khalifah di muka bumi ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-786: Membuka Aib Yang Dibenarkan Dalam Islam yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan, mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi ALLAH SWT.
Ia terutama melibatkan perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua-dua pasangan. Sebagai contoh, hal berkaitan istimta’ (keseronokan antara suami isteri).
Dalam satu riwayat daripada Abu Sa’id Al-Khudriy, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)
Suami isteri ibarat ‘pakaian’
Melihat nas itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jelas bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya berbuat demikian.
“Ia sesuai dengan tuntutan ajaran Rasulullah SAW supaya berkata dengan perkataan baik atau senyap andai tiada keperluan,” katanya dipetik dalam artikel tersebut.
Pejabat mufti itu kemudian mengemukakan pandangan At-Tobari yang menyatakan, suami isteri diibaratkan sebagai tempat tinggal yang memberi ketenangan dan ketenteraman antara satu sama lain.
“Bahkan, mereka ibarat satu selimut atau kain yang menutupi di mana mereka sewajarnya menutup segala hal-hal peribadi pasangan daripada diketahui orang luar.
“Andai salah seorang daripada pasangan bermudah-mudah untuk mendedahkan aib pasangan, maka seolah-olah mereka membiarkan diri tanpa pakaian atau sesuatu yang menutup,” katanya.
Meskipun pasangan suami isteri itu sudah bercerai, At-Tobari menegaskan, mereka dilarang sama sekali untuk menyakiti atau menghina bekas pasangan dalam apa jua cara sekalipun sama ada menerusi perkataan atau perbuatan.
“Menurut Al-Maraghi, sewajarnya bekas suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya sehingga orang lain menjauhinya andai wanita itu mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain.
“Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka,” kata artikel tersebut.
Keadaan dibenarkan buka aib
Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud kita tidak boleh membuka aib pasangan lebih-lebih lagi andai diri teraniaya dan dizalimi.
Mengulas lanjut tentangnya, pejabat mufti itu menjelaskan, Islam menetapkan batasan dan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah dihadapi.
Andai disebarkan kepada masyarakat umum atau saluran yang salah, katanya, ia juga termasuk dalam kategori melakukan kezaliman!
Dalam sebuah hadis ada menceritakan tentang keharusan membuka aib pasangan untuk tujuan penyelesaian terhadap penindasan dilakukan.
Hadis yang dimaksudkan merupakan riwayat Aisyah RA yang mengatakan: “Hindun Ummu Mu’awwiyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya yang bernama Abu Sufyan ialah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadis itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Imam An-Nawawi menyatakan bahawa ada enam sebab dibenarkan membuka aib seseorang iaitu:
1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim.
2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
3. Meminta fatwa daripada mufti.
4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya tentang perihal buruk seseorang yang tidak harus diikuti.
5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan atau maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, tetapi haram membuka aib dan serta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terbuka kecuali atas tujuan tertentu seperti dinyatakan di atas.
6. Menyebut seseorang dengan panggilan buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut, orang itu dikenali. Bagaimanapun, andai panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejak, haram sama sekali.
Azab sebar aib pasangan
Sesungguhnya, setiap larangan itu pasti ada ancaman besar yang menanti. Disebabkan itulah kita ditegah untuk melakukannya.
Banyak dalil yang memerihalkan tentang perkara tersebut.
Antaranya termasuklah sabda Rasulullah SAW: “Orang yang membuka aib pasangannya, ALLAH akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam satu riwayat lain, Baginda SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang mengumpat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bahkan, ALLAH SWT telah menjelaskan menerusi kalam-NYA dengan berfirman: “Isteri-isteri kami itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)
Andai kita sudah terlanjur menjaja aib pasangan, portal Detik Hikmah menyarankan agar segera menghentikannya.
Ini kerana ia bukan sahaja membawa keburukan di dunia, tetapi juga di akhirat kelak.
“Mengertilah, apabila seseorang membuka aib orang lain, maka ALLAH akan mengazab dengan membuka aib diri kita sendiri.
“Bahkan dari satu segi, kita juga tidak boleh membuka aib sendiri. Seandainya dilakukan, maka kita tidak akan memperoleh keampunan daripada ALLAH SWT,” titipnya.
The post Besar dosanya apabila buka aib pasangan first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/nicH8pY
via Denaihati.com