Wednesday, 28 May 2025

10 Hari Pertama Zulhijjah: Masa Terbaik Gandakan Amal

Bulan Zulhijjah adalah antara bulan yang dimuliakan dalam Islam. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa 10 hari pertama Zulhijjah adalah hari-hari yang paling dicintai Allah untuk beramal. Ia adalah masa yang sangat utama untuk memperbanyakkan amal soleh dan meningkatkan ketaatan kepada-Nya.

Nabi SAW bersabda:

“Tiada hari-hari yang amal soleh padanya lebih disukai Allah daripada 10 hari ini.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan pada hari-hari ini sangat besar nilainya. Maka, rebutlah peluang ini dengan sebaiknya.

1. Puasa Sunat (1–9 Zulhijjah)

Nabi SAW berpuasa sembilan hari pertama Zulhijjah. Antara yang paling digalakkan adalah puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah), yang menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang (Riwayat Muslim). Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) juga disarankan untuk berpuasa.

2. Zikir dan Doa

Perbanyakkan zikir seperti takbir (Allahu Akbar), tahmid (Alhamdulillah), tahlil (La ilaha illallah), dan tasbih (Subhanallah). Selain itu, manfaatkan waktu-waktu mustajab seperti Hari Arafah, sebelum berbuka, antara azan dan iqamah, serta sepertiga malam untuk berdoa bersungguh-sungguh.

3. Solat Sunat dan Taubat

Amalkan solat sunat seperti Dhuha, Tahajjud, Witir, Taubat dan Rawatib. Ambillah masa untuk bermuhasabah dan kembali kepada Allah dengan taubat nasuha.

4. Sedekah dan Bantu Orang Lain

Bersedekah pada 10 hari ini membawa ganjaran besar. Ulama salaf sangat aktif memberi dan membantu golongan memerlukan pada waktu ini.

5. Membaca dan Mentadabbur al-Quran

Tetapkan target seperti satu juzuk sehari, dan usaha untuk memahami serta menghayati maksud ayat-ayat al-Quran. Amalkan tadabbur dan aplikasikan pengajaran dalam kehidupan.

Sesiapa yang nak buat tempahan korban pada tahun ini boleh klik sini

Penutup

10 hari pertama Zulhijjah adalah waktu yang sangat istimewa. Jangan biarkan ia berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Mulakan sekarang, tingkatkan ibadah, dan raih ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah.

The post 10 Hari Pertama Zulhijjah: Masa Terbaik Gandakan Amal first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/2tr0Ky8
via Denaihati.com