“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…”
(Surah At-Tahrim, 66:6)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab mendidik anak bukan sekadar memastikan mereka berjaya di dunia, tetapi juga selamat di akhirat.
Sebagai ibu bapa, niat kita memang baik: kita mahu anak jadi manusia berguna, beriman, dan bahagia. Tapi kadang-kadang, niat yang baik saja tidak cukup jika disertai tindakan yang tersilap, ia boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan anak.
Mari kita renung 5 kesalahan yang sering dilakukan oleh ibu bapa yang sangat berniat baik, supaya kita boleh sama-sama muhasabah dan perbaiki.
1. Terlalu Cepat Menyelesaikan Masalah Anak
Niat: Tak mahu anak susah, kecewa atau menangis.
Tindakan: Setiap kali anak menghadapi kesukaran, kita cepat-cepat bantu atau buatkan untuk mereka.
Kesan: Anak tidak belajar selesaikan masalah, tidak tahan cabaran, dan kurang berdikari.
Contoh Nabi SAW: Baginda tidak terus menolak permintaan anak-anak, tetapi melayan dengan tenang, mendengar dan memberi ruang mereka belajar.
2. Memberi Ganjaran Untuk Semua Perkara
Niat: Nak bagi anak semangat.
Tindakan: Setiap kebaikan diberi hadiah walaupun hanya mengemas mainan atau minta maaf.
Kesan: Anak hanya buat baik bila ada ‘reward’, bukan kerana kesedaran atau nilai dalaman.
Rasulullah SAW mendidik dengan cinta dan hikmah, bukan dengan sogokan. Anak belajar nilai kebaikan kerana melihat akhlak, bukan kerana hadiah.
3. Overprotective (Terlalu Melindungi)
Niat: Mahu anak rasa selamat dan tidak disakiti.
Tindakan: Tidak benarkan anak buat silap, tidak beri ruang mencuba sendiri, larang semua yang berisiko.
Kesan: Anak menjadi takut, tiada keyakinan, dan terlalu bergantung kepada ibu bapa.
Kisah Saidina Umar yang membiarkan anaknya belajar berdikari menunjukkan pentingnya kepercayaan kepada anak untuk membina karakter.
4. Bandingkan Dengan Anak Orang Lain (Konon Untuk Motivasikan)
Niat: Nak anak jadi lebih baik.
Tindakan: “Kenapa tak macam Aisyah?”, “Tengok abang kamu pun boleh.”
Kesan: Anak rasa tidak cukup baik, harga diri jatuh, hubungan renggang dengan keluarga.
Nabi SAW sentiasa menghargai individu mengikut keunikan masing-masing, termasuk ketika mendidik para sahabat dan kanak-kanak.
5. Fokus Hanya Pada Akhlak, Abaikan Emosi
Niat: Nak anak jadi anak soleh.
Tindakan: Tegur bila anak marah, suruh diam bila menangis, abaikan bila anak cemburu atau kecewa.
Kesan: Anak tak tahu cara sihat untuk urus emosi, lalu menyimpan atau meledak emosi secara tidak terkawal.
Rasulullah SAW mengiktiraf emosi anak-anak, memeluk mereka, memahami tangisan mereka, dan tidak pernah memperlekeh rasa mereka.
Tiada siapa sempurna. Tapi bila kita sedar kesilapan dan mahu berubah, Allah bantu. Anak-anak tak perlukan ibu bapa yang sempurna, mereka perlukan ibu bapa yang jujur belajar dan mahu berubah.
Doa Untuk Semua Ibu Bapa Yang Sedang Mencuba
“Ya Allah, bantulah kami dalam mendidik anak-anak yang Kau amanahkan.
Lembutkan hati kami ketika marah.
Lapangkan dada kami ketika kecewa.
Berikan kami hikmah dan sabar dalam setiap cabaran.
Jadikan anak-anak kami insan yang mencintaiMu dan membawa cahaya ke bumi ini.
Dan jadikan rumah kami tempat tenang, tempat cinta dan tempat pulangnya iman.”
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
from Denaihati https://ift.tt/uTir5NM
via Denaihati.com