Assalamualaikum dan salam sejahtera.
World #Quran Hour (WQH) telah berlangsung pada 22 Ramadan 1439H bersamaan 7 Jun 2018 yang lalu dengan tema “World of Compassion” (Dunia Berbudi dan Penyayang). Ia berjaya menjadi momen membentuk solidariti ummah di seluruh dunia untuk berinteraksi dengan Al Quran iaitu Baca, Faham dan Amal.
Program yang berlangsung selama sejam dan diadakan di lokasi perdana di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan hampir 3000 lokasi di seluruh Malaysia, 67 lokasi di 30 buah negara termasuk tanah suci Mekah dan Madinah.
World #Quran Hour ini telah menerima sentuhan DiRaja dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni AlMarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli hadir sebagai tanda sokongan Baginda kepada Program Interaksi bersama Al Quran.
Sokongan pelbagai pihak seluruh dunia
Program kali ketiga ini meyaksikan penyatuan hati ummah dengan kehadiran Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim, ahli politik, pemimpin dan kakitangan agensi kerajaan, warga korporat, NGO, imam, pelajar dan orang ramai.
Pada tahun ini, WQH mengambil surah Al Hujurat ayat 1 hingga 18 sebagai panduan pembentukan umat berakhlak mulia yang menekankan nilai-nilai mulia seperti memaafkan, mendamaikan orang yang berselisih faham serta saling kenal mengenali sesama manusia. Kesemua ini menjadi amalan bangsa yang berbudi dan penyayang sehingga kebaikan yang dimulakan di Malaysia ini menjadi gelombang ke seluruh dunia.
Masa untuk interaksi dengan Al Quran
Program ini mendapat liputan langsung selama satu jam setengah daripada Astro Oasis buat kali ketiga ini dan dimulakan dengan pembukaan ngaji surah Al Fatihah oleh Datuk Hj Mohamad Nordin. Ia diikuti bacaan Surah Al ‘Imran ayat 103 hingga 105 oleh Mantan Presiden UIAM, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seruan untuk kita berpegang pada tali Allah yang kukuh.
Ia diikuti dengan Sesi Solidariti Ngaji yang memberi peluang setiap hadirin untuk membaca Al Quran, berinteraksi dan melakukan refleksi diri satu muka surat dalam tempoh 5 minit. World #QuranHour diakhiri dengan ikrar Quran oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman bersama dua pelajar UIAM. Turut kelihatan juga selebriti Norman Hakim dan juga YB Nurul Izzah.
Baca, Faham dan Amal
Pada tahun ini, berlaku sedikit perubahan dengan tarikh perlaksanaan dibawa ke 10 hari terakhir Ramadan, iaitu pada 22 Ramadan 1439H bagi meraikan bulan yang diturunkan Al Quran. Tarikh 9 ZUlhijjah 1439H bersamaan 21 Ogos 2018 akan menjadi sambutan Arafah #QuranHour . Manakala Malaysia #QuranHour akan diadakan pada 30 Ogos 2018, sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2018.
Matlamat #QuranHour adalah untuk berinteraksi dengan Al Quran melalui proses baca, faham dan amal sehingga lahir kerangka fikir dan anjakan paradigma melalui Al Quran. Perubah ini diharapkan dapat mewujudkan bangsa Berbudi dan Penyayang yang akan menjadi model bangsa berpandukan Al Quran terutamanya golongan orang Islam.
Kempen ini telah disambut baik dengan wujudnya lebih 1250 Rumah Ngaji di Seluruh negara yang ditubuh sejak 2013. Rumah Ngaji menyediakan platform mendidik dan mengajak ummah untuk bersama membaca dan memahami Al Quran dalam suasana pembelajaran Al Quran secara percuma dan konsisten.
Moga dengan apa yang diusahakan ini akan mendapat rahmat dan kasih sayang dariNya. Tim Denaihati Network akan sentiasa menyokong dan menggerakkan kempen ini dengan niat #BuatKeranaAllah
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2JsjfOh
via Denaihati.com