Tuesday, 1 March 2022

Hikmah disebalik peristiwa Israk Mikraj Nabi SAW

Peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan Rasulullah s.a.w ‘naik ke langit’ ini yang hanya berlaku semalaman.

Peristiwa ini sememangnya sukar dipercayai sesiapapun kerana dianggap sangat aneh dan mustahil. Sehinggakan sewaktu Rasulullah s.a.w menceritakan perjalanan Baginda itu, hanya Abu Bakar yang mengakui mempercayai Baginda.

Bukankah Allah s.w.t menjadikan setiap sesuatu itu dengan banyak hikmah dan pengajarannya kepada umat Islam?

Namun apakah iktibar yang ingin ditunjukkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya melalui peristiwa ‘special’ ini?

1 – Israk Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata

Peristiwa Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah s.a.w yang benar-benar terjadi dan, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah s.a.w mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Israk Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.

Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

2 – Tanda Kekuasaan Allah S.W.T

Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.

Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah s.w.t dengan jelas telah menyatakan bahawa Israk Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.

Firman Allah s..w.t;

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Surah al Israq:1

3 – Bentuk Kemuliaan Allah S.W.T Kepada Rasulullah S.A.W

Sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.

Rasulullah s.a.w juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.

Oleh itu, Israk Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah s.a.w hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

4 – Bukti Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W

Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah s.a.w.

Selain itu Israk Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah s.w.t.

Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah s.a.w dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

5 – Bukti Ajaran Rasulullah S.A.W Bersifat Menyeluruh

Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

#6 – Perintah Didirikan Solat Lima Waktu

Peristiwa Mikraj atau perjalanan Rasulullah s.a.w ke Sidratul Muntaha adalah tempat berlakunya peristiwa Rasulullah menerima perintah Allah s.w.t untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Perintah ini adalah secara langsung diberikan oleh Allah kepada Baginda tanpa perantara.

Walaupun pada awalnya Allah s.w.t memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah s.a.w memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.

Perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah s.a.w dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ianya adalah tiang agama Islam dan kunci diterima segala amalan di dunia.

#7 – Pembersihan Hati untuk Menghadap Allah S.W.T

Diriwayatkan, sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was.

Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah s.w.t dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.

Selain itu, segala amalan ibadat hendaklah disertai dengan niat yang betul dan ikhlas. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.

Sungguh banyak hikmah yang dapat diambil oleh umat Islam sebagai iktibar daripada peristiwa ini.

Jadi sebagai umat Islam umumnya, dan pengikut Nabi Muhammad s.a.w khususnya haruslah kita jadikan peristiwa ini sebagai pangajaran utama dalam mengejar ibadah terutamanya dalam mendirikan solat lima waktu.

TZKRH

The post Hikmah disebalik peristiwa Israk Mikraj Nabi SAW first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/xUOYkf2
via Denaihati.com