Bulan Safar adalah bulan kedua dalam Islam selepas bulan Muharam. Namun pada pandangan masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu, bulan Safar dianggap bulan yang sial dan perkara buruk banyak terjadi pada bulan tersebut.
Mereka tidak melakukan banyak urusan dalam bulan ini seperti tidak berperang, tidak melakukan urusan pernikahan, bermusafir dan pelbagai lagi kepercayaan karut yang ada.
Bahkan sebahagian umat Islam juga terpalit dengan kepercayaan ini seperti menganggap hari Rabu terakhir bulan Safar adalah hari yang paling buruk kerana bala daripada Tuhan akan menimpa dunia. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu akan melakukan amalan seperti mandi Safar, iaitu temasya mandi manda bagi tujuan menolak bala.
Orang Arab Jahiliyyah pada waktu itu juga sering melakukan amalan tathayyur sebelum memulakan perjalanan. Mereka akan melepaskan burung ke udara. Jika burung tersebut terbang ke kanan, ia dianggap sebagai tanda tuah dan perjalanan yang dilalui akan baik-baik sahaja, sedangkan jika burung tersebut terbang ke kiri atau ke belakang, hal itu dianggap sebagai tanda nasib buruk dan akan berpatah balik.
Setelah Rasulullah SAW datang membawa Islam, segala amalan ini ditolak sama sekali. Segala kepercayaan hanya disandarkan kepada Allah semata-mata.
Malah terdapat hadis yang tegas menerangkan bahawa tidak ada hal-hal syirik tathayyur dalam Islam.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya: “Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (Riwayat al-Bukhari – no. 5770, Muslim – no. 2220, Abu Daud – no. 3913 di dalam al-Sunan & Ahmad – no. 3031 di dalam Musnad)
Rasulullah SAW juga pernah mengajarkan satu doa yang boleh diamalkan bagi menggantikan kepercayaan tersebut. Dalam sebuah riwayat, para sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
(Allahumma la khoira illa khoiruka, wa la thoiro illa thoiruka, wa la ilaha ghoiruka)
(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikanMu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, no. 6748)
Demikian cerita di sebalik bulan Safar serta amalan yang pernah diamalkan oleh masyarakat Jahiliyyah. Sekalipun amalan tersebut semakin hilang, namun doa-doa yang baik seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW masih boleh diamalkan sehingga kini.
TZKRH
The post Doa Yang Boleh Diamalkan Di Bulan Safar first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/mwos9b6
via Denaihati.com