Monday, 22 August 2022

Mencari pasangan yang baik supaya kekal hingga ke syurga

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Seorang wanita dinikahi kerana empat (4) sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.  Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim)

Perkahwinan merupakan suatu pelengkap dalam kehidupan seorang lelaki dan perempuan kerana Allah telah menjadikan manusia saling memerlukan serta mempunyai pasangan. Dengan sebuah perkahwinan diantara lelaki dan perempuan maka manusia akan berkembang biak dan menghasilkan zuriat. InshaAllah

Dalam hal mencari jodoh ini, bukan kaum Adam sahaja yang berhak untuk memilih, kaum wanita juga berhak untuk memilih pasangannya.  Perkara ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia.  Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.” (HR At-Termidzi)

Memulakan hidup sebagai suami isteri ini bukan sahaja untuk seronok tapi kesepaduan antara dua belah pihak. yakni suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan. Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.

Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing.

Tidak kira bagaimana ciri-ciri fizikal atau kewangannya yang kita mahukan. Pastikan agama diutamakan dan niat awal mencari pasangan itu kerana Allah. Bukan kerana melihat orang lain dah ada pasangan atau nak ikut trend. Akhir kalam kami berdoa kepada Allah sebagaimana dinyatakan

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

The post Mencari pasangan yang baik supaya kekal hingga ke syurga first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/d5RUxl0
via Denaihati.com