Monday, 28 August 2023

7 perkara ibu ayah boleh buat dalam perjalanan besarkan anak mereka

Perjalanan membesarkan anak-anak adalah perjalanan yang penuh warna-warni. Ada cabaran, ada kegembiraan dan pasti ada juga detik-detik yang menyedihkan. Namun, sebagai ibu bapa terutama yang masih mempunyai anak-anak kecil, ada beberapa perkara yang perlu diingat sama dalam perjalanan membesarkan mereka.

1- Diri Sendiri Juga Perlu Belajar

Ramai yang inginkan anak-anak pandai membaca dan kenal alif, ba, ta di awal usia lagi. Ada yang menghantar anak sebelum masuk tadika lagi ke kelas fardu ain untuk memastikan anak-anak tak ketinggalan apabila masuk sekolah.

Tetapi, dalam kita seronok mendidik anak, jangan dilupa untuk mendidik diri sendiri. Jika sudah lupa tentang ilmu-ilmu asas dalam agama, sewajarnya juga kita belajar semula.

2- Mempunyai Hubungan Yang Harmoni Dengan Pasangan

Hubungan yang harmoni bukan bermakna tidak bergaduh dan tidak ada masalah. Hubungan yang harmoni adalah apabila masalah timbul, kedua-dua pihak cuba mencari jalan untuk mencapai ketenangan semula. Bukankah tujuan utama pernikahan adalah mencapai kesimbangan dan ketenangan?

3- Ketepikan Perkara Yang Tidak Bermanfaat Untuk Anda Dan Anak-anak

Antara cabaran ibu bapa sekarang adalah gajet. Sesetengah ibu bapa sudah tidak mampu mengawal waktu skrin anak-anak apabila larangan kerap kali mengundang amukan dan keadaan yang cukup mengharu-birukan.

Namun, perubahan perlukan latihan. Sebagaimana anda inginkan anak-anak tidak hanya melekat dengan gajet, begitu jugalah anda sebagai ibu bapa perlu melakukannya. Jika kerja anda kerap memerlukan anda bersama gajet, maka berilah penjelasan pada anak-anak bahawa anda perlu bekerja menggunakan gajet, kemudian wujudkan waktu tanpa gajet sejam atau dua dalam sehari untuk melakukan aktiviti bersama anak-anak.

4- Ajarkan Mereka Tentang Akhlak Islam Dengan Memberi Teladan Yang Baik

Baginda diutuskan kepada umat Islam untuk menyempurnakan akhlak yang baik. Maka, akhlak bukan perkara yang patut diambil ringan. Ia juga bukan perkara yang boleh difahami dan diketahui sendiri oleh anak-anak.

Contoh mudah adalah apabila anda marahkan anak-anak melakukan sewenang-wenangnya di rumah orang, sedangkan anda belum mengajarkan kepada mereka tentang adab-adab menziarahi orang. Jika sudah diajar sekalipun, ia perlu diulang-ulang kerana kanak-kanak juga boleh lupa dek banyak perkara yang menarik minat mereka.

5- Bersikap Ihsan Dan Rahmah Terhadap Mereka

Anak-anak masih budak-budak, jadi usah melayan mereka seperti kita sedang melayan seorang manusia dewasa. Mereka berhak dilayan mengikut fasa usia mereka. Bersikaplah ihsan iaitu layan mereka dengan cara yang terbaik dan sesuai. Sayangi mereka tanpa syarat. Sayangi juga pasangan kerana kesannya juga boleh dirasai oleh anak-anak.

6- Ajar Mereka Untuk Berani Bersuara

Berani bersuara tidak bermakna bersuara dengan kasar dan tanpa adab. Berani bersuara adalah berani menyuarakan perasaan, idea dan pendapat. Usah menganggap apabila mereka mempersoalkan sesuatu, mereka bertindak biadab. Ajarkan mereka cara yang sesuai. Hal ini boleh memupuk mereka untuk berbincang dengan sihat dan tidak memendam emosi.

7- Berdoa Kepada Allah Agar Anak-anak Sentiasa Dalam JagaanNya

Ada masanya anda tidak dapat melindungi dan memantau anak-anak 24 jam dalam sehari. Mereka juga ada kebarangkalian terdedah dengan unsur-unsur negatif setelah berada di luar rumah apabila berjumpa dengan ramai orang.

Berdoalah kepada Allah agar mereka sentiasa dilindungi daripada sebarang keburukan. Kita hamba yang punyai keterbatasan kudrat dan kemampuan. Maka, serahkanlah selebihnya kepada Allah Yang Maha Mentadbir Urusan makhluk-makhluknya.

Perjalanan membesarkan anak-anak sebenarnya mendidik kita menjadi lebih matang dalam pelbagai perkara. Ambillah peluang untuk belajar setiap hari. Maafkan kelemahan dan kesilapan yang lalu dan terus bersemangat untuk jadi ibu bapa yang lebih baik pada masa akan datang.

The post 7 perkara ibu ayah boleh buat dalam perjalanan besarkan anak mereka first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/vjS6ByP
via Denaihati.com