Tahukah kita, pelbagai peluang istimewa sedang menanti kita pada bulan Zulhijjah khususnya pada 10 hari pertama.
Pejam celik pejam celik, kita pun sudah memasuki Bulan Zulhijjah, bulan di mana kita akan meraikan Aidiladha atau juga dipanggil Raya Haji, susulan ibadah Haji yang disempurnakan pada 9 Zulhijjah.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah paling menyukai amalan soleh yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah.
Para sahabat lantas bertanya kepada baginda,
“Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”
Baginda menjawab, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat Al-Bukhari, no. 969, Abu Daud, no. 2438, Ibnu Majah, no. 1727 dan Al-Tirmizi, no. 757)
Setelah kita mengetahui bahawa Allah SWT sangat menyukai amalan soleh yang dilakukan dalam hari-hari awal Zulhijjah, maka berikut adalah amalan yang dianjurkan.
1- Berpuasa
Salah satu amalan soleh yang dimaksudkan dalam hadis tersebut termasuklah puasa. Menurut perbahasan ahli hadis, amalan berpuasa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW pada waktu ini tidaklah secara berterusan sepanjang 10 hari pertama. Ada hari yang Rasulullah SAW berpuasa dan ada hari tidak.
2- Menghidupkan Malam Dengan Berqiamullail
Menjadi kebiasaan buat salah seorang sahabat Sai’d bin Jubair, seorang perawi, apabila tiba 10 hari terawal Zulhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak berdaya melakukannya.
Antara pesannya ialah,
“Janganlah kamu memadamkan pelita pada waktu malam selama 10 hari ini kerana ibadah sangat disukai untuk dilakukan saat itu.”
3- Memperbanyakkan Zikir
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ
Maksudnya: “Dan supaya menyebut nama allah pada hari-hari yang dimaklumi.” (Surah al-Hajj 22:28)
Hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Berzikirlah dengan apa jua jenis zikir yang diingini. Kita boleh juga menjadikan amalan zikir ini lebih istimewa dengan menetapkan buat diri sendiri sebanyak mana zikir yang ingin dilakukan.
Contohnya, ingin berzikir Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 50 kali bagi setiap satunya setiap kali selepas solat. Sekurang-kurangnya kita memecah rutin dan umpama meraikan 10 hari awal Zulhijjah ini dengan lebih istimewa.
4- Ibadah Korban Adalah Amal Yang Lebih Disukai Allah Pada Aidil Adha
Amalan yang Allah lebih suka kepada hambanya pada Hari Raya Aidil Adha ialah melaksanakan ibadah korban.
Sabda Rasulullah SAW;
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada ‘Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan
Selain daripada amalan-amalan di atas, antara perkara lain yang boleh dilakukan seperti sedekah, melazimi solat berjemaah bersama keluarga, menghafal potongan ayat Al-Quran serta doa.
Semoga 10 hari terawal Zulhijjah ini dimanfaatkan sebaiknya!
Hukum memotong kuku dan rambut sebelum ibadah korban
The post Keistimewaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/hmFOW8U
via Denaihati.com