Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar dan produk utama yang berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah memperkukuh simpanan persaraan, meluaskan perlindungan sosial dan meningkatkan pengalaman keseluruhan ahli.
Menurut kenyataan rasmi KWSP, penambahbaikan ini selaras dengan langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan sebelum ini, selain mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam menyesuaikan keperluan ahli yang semakin berubah, khususnya bagi memastikan kesejahteraan dan daya tahan kewangan jangka panjang.
Had Pengeluaran Haji Dinaikkan Kepada RM10,000
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah peningkatan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 melalui Akaun Sejahtera, bertujuan membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji.
KWSP turut memaklumkan bahawa keperluan untuk mengesahkan baki simpanan dalam akaun Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran kini dimansuhkan. Langkah ini dijangka mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli merancang ibadah haji dengan lebih teratur dan fleksibel.
i-Saraan Plus Untuk Pemandu E-Panggilan dan P-Panggilan
Dalam usaha memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja ekonomi gig, KWSP hari ini memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan.
Melalui skim ini, pemandu yang layak akan menerima insentif padanan kerajaan lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000. Pendaftaran ahli akan dilaksanakan melalui penyedia platform yang mengambil bahagian, termasuk kemudahan potongan caruman mengikut kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu.
Umur Kelayakan i-Suri Dinaikkan Kepada 60 Tahun
KWSP turut mengumumkan bahawa umur kelayakan skim i-Suri dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara.
Insentif padanan kerajaan bagi skim ini diteruskan pada kadar 50 peratus daripada caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup, sebagai sokongan kepada golongan suri rumah dalam membina simpanan persaraan yang lebih mampan.
Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan Berkuat Kuasa Hari Ini
Mulai hari ini, KWSP turut melaksanakan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan atau Retirement Income Adequacy (RIA) sebagai panduan perancangan persaraan ahli.
Rangka kerja ini memperkenalkan tiga tahap simpanan, iaitu:
- Simpanan Asas: RM390,000
- Simpanan Mencukupi: RM650,000
- Simpanan Dipertingkatkan: RM1.3 juta
Tahap ini bertujuan membantu ahli menilai kedudukan simpanan masing-masing dan merancang keperluan persaraan dengan lebih realistik.
Penambahbaikan Pengeluaran Melebihi RM1 Juta
Selaras dengan tahap Simpanan Dipertingkatkan, KWSP akan menambah baik dasar Pengeluaran Melebihi RM1 Juta bagi ahli berumur di bawah 55 tahun.
Pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat melalui kenaikan had pengeluaran sebanyak RM100,000 setahun dalam tempoh tiga tahun, bermula RM1.1 juta pada tahun 2026, bagi memberi ruang pengurusan lebihan simpanan tanpa menjejaskan keperluan asas persaraan.
Pelarasan Skim Pelaburan Ahli dan Penjenamaan Baharu
KWSP turut memaklumkan bahawa kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) akan diselaraskan berdasarkan tahap Simpanan Asas, melalui pelaksanaan berperingkat kuantum simpanan minimum. Langkah ini bertujuan memastikan lebihan simpanan yang dilaburkan tidak menjejaskan keselamatan simpanan persaraan ahli.
Dalam masa sama, bagi menggalakkan simpanan sukarela, KWSP memperkenalkan penjenamaan baharu:
- i-Simpan untuk Caruman Pilihan Sendiri
- i-Topup untuk Caruman Melebihi Kadar Berkanun
Penjenamaan ini melengkapkan kemudahan sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang dan i-Suri, sekali gus memudahkan pemahaman dan penggunaan oleh ahli.
Maklumat lanjut mengenai semua inisiatif ini boleh dirujuk melalui soalan lazim yang disediakan di laman web rasmi KWSP. https://www.kwsp.gov.my
Sumber: Astro Awani
The post KWSP Umum Penambahbaikan Besar Simpanan Persaraan Bermula Hari Ini first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/ak7VoqA
via Denaihati.com