Sunday, 21 July 2019

Anak Bekas MB Terengganu Jadi Penyanyi, Tak Minat Politik - "Memenatkan! Sejak Kecil Dengar Ceramah"


MESKIPUN membesar dalam persekitaran dunia politik, anak bongsu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Cash Farhan enggan terjun dalam bidang yang sama.

Cash atau nama sebenar Muhamad Asyrol Farhan Ahmad berkata dia lebih seronok bergelar penyanyi dan menghiburkan masyarakat melalui muzik.

"Saya memang minat bidang muzik dan nyanyian, jadi saya memilih untuk teruskan dalam industri ini berbanding dunia politik.

"Dari kecil saya ikut ayah dengar ceramah dan ia sangat memenatkan. Nak kena jaga banyak perkara dan tanggungjawab besar untuk rakyat.

"Saya tak ada kemampuan itu dan lebih terarah ke bidang nyanyian. Sebab itu itu saya berkeyakinan untuk serius sebagai penyanyi," katanya kepada mStar.


Cash kini bernaung di bawah label Big Shot Entertainment.

Sementara itu, penyanyi berusia 23 tahun ini berharap masyarakat melihat bakatnya dan bukan menumpang status atau populariti yang ada pada bapanya.


Tegasnya, dia tidak mahu dikaitkan menggunakan bapa sebagai batu loncatan untuk membina nama dalam industri seni suara.

"Saya sedar akan ada yang kaitkan dengan bapa, orang luar tidak tahu di sebalik cerita saya dan mereka hanya nampak luaran.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan tak kisah pendapat orang lain. Alhamdulillah bapa beri sokongan dan dia lihat kesungguhan saya ini.

"Rasanya bakat nyanyian yang saya ada ini bukan dari bapa sebab dia tak suka menyanyi, kalau menyanyi pun macam itu sahaja," ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai kerjaya nyanyian, Cash muncul dengan lagu solo pertama ciptaan bersama Ewal Ismail dan lirik hasil tulisannya sendiri berjudul Trust.

Mengulas pembabitannya dalam industri hiburan, Cash yang tampil dengan imej Kpop berkata dia pernah melanjutkan pelajaran di Korea Selatan dalam bidang bahasa selama dua tahun.

"Saya memang suka menulis sejak di sekolah lagi dan hingga kini sudah berjaya menyiapkan koleksi lagu ciptaan sendiri.

"Trust adalah percubaan pertama saya dan selepas ini saya merancang menghasilkan lagu kedua dengan gabungan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Korea dan Inggeris.

"Insya-Allah harap peminat dapat menerima genre muzik ini dan beri sokongan kepada saya untuk terus mewarnai industri seni tanah air," katanya yang mengambil sumber inspirasi daripada penyanyi G-Dragon.

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/30RsOyn
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2M3KAuo
via MerahHatiCintaku.blogspot.com