Tuesday 2 July 2019

Bee Yin Nafi Kementeriannya Lambat Tangani Pencemaran Pasir Gudang


JOHOR BAHRU: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, menafikan tuduhan bahawa kementeriannya lambat bertindak menangani insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, sejak 12 hari lalu.

Bee Yin berkata, tindakan sebuah portal pembangkang mempolitikkan insiden berkenaan adalah sesuatu yang jijik dan keji.

Katanya, ia sekali gus tidak mengambil kira perasaan dan trauma yang dialami oleh ibu bapa dan kanak-kanak yang mengalami kesan daripada insiden berkenaan.

“Kenyataan tidak bermaruah ini adalah penghinaan kepada beratus pegawai kerajaan daripada semua agensi yang terbabit dalam menangani insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang sejak 12 hari lalu.

“Mereka (pegawai pelbagai agensi) bertungkus-lumus, bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat lelah untuk mengambil bacaan parameter dan menganalisis data untuk mencari punca insiden ini.


“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam menangani pencemaran Pasir Gudang ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Jabatan Kimia, Metrologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut terbabit Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sejak semalam, portal pembangkang mendakwa Bee Yin dan kementeriannya lambat bertindak menangani isu pencemaran udara di Pasir Gudang.

Tuduhan berkenaan dibuat berikutan suami Bee Yin, Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng, didakwa kononnya mempunyai beberapa kepentingan dalam industri di Pasir Gudang. - BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2J5Td5B
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2KT4gRJ
via MerahHatiCintaku.blogspot.com