Saturday, 25 December 2021

Rebut insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

SEBAGAI sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan tidak ada pelajar yang dinafikan atau tercicir untuk meneruskan pengajian ke menara gading disebabkan oleh masalah kewangan.

Atas dasar itu, PTPTN terus komited bertindak sebagai dana pendidikan yang menyediakan pinjaman pendidikan dan membantu ibu bapa memulakan simpanan untuk pendidikan masa depan anak-anak termasuk menggalakkan budaya menyimpan.

Sejak penubuhannya pada 1997 sehingga hari ini, pinjaman pendidikan yang disediakan oleh PTPTN telah memanfaatkan lebih 3.62 juta peminjam melibatkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM65.42 bilion.


Bukan hanya sebagai penyedia pinjaman semata-mata, PTPTN turut memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan dan peminjam dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Komitmen itu selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 melalui teras strategik ketiga, iaitu menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif.

Inisiatif #PTPTNSediaBantu yang diperkenalkan adalah usaha pihaknya memudahkan peminjam berurusan dengan mewujudkan kesedaran akan kepelbagaian saluran untuk melakukan bayaran, membantu peminjam memahami cara menggunakannya dengan bantuan barisan hadapan PTPTN serta menyelesaikan sebarang kekeliruan dan urusan mereka.

Pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini turut memberi manfaat kepada peminjam melalui insentif diskaun bayaran balik pinjaman bermula 1 November 2021 hingga 30 April depan seperti berikut:

i) Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

ii) Diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

iii) Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN tersebut layak kepada semua peminjam yang mempunyai hutang dengan PTPTN dengan beberapa kaedah ditetapkan.

“Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus perlu mendapat pengesahan baki hutang melalui www.ptptn.gov.my atau menghubungi eksekutif pemasaran PTPTN.

“Seterusnya, pembayaran balik pinjaman boleh dibuat melalui mana-mana saluran pembayaran balik disediakan PTPTN.

“Bagi peminjam yang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus pula boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web PTPTN,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Ahmad Dasuki, peminjam yang hanya mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak mendapatkan diskaun 12 peratus sekiranya membuat bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang WPP dalam bulan yang sama sahaja serta layak mendapatkan diskaun 15 peratus sekiranya menyelesaikan keseluruhan hutang WPP tersebut dalam bulan yang sama.

Katanya lagi, PTPTN berharap peminjam akan terus menyokong usaha kerajaan dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman untuk masa depan pendidikan generasi akan datang.

“Rebutlah peluang melalui insentif diskaun yang diberikan ini dengan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN anda.

“Melalui pelbagai usaha dan pendekatan mesra yang dilaksanakan oleh PTPTN, diharapkan para peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan tampil berbincang dengan PTPTN kerana PTPTN sedia membantu,” ujarnya.

Sementara itu, peminjam PTPTN, Mohd Hakimi Hassim, 37, berkata, insentif yang diperkenalkan itu merupakan suatu inisiatif yang amat baik dan bersesuaian dengan keadaan semasa mencabar kini.

“Sebenarnya kalau diikutkan tidak perlu ada diskaun kerana PTPTN telah membantu memberi pinjaman pendidikan kepada kita. Namun, dengan adanya insentif diskaun 15, 12 dan 10 peratus ini adalah suatu perkara yang sangat baik dan ‘kena’ dengan waktunya.

“Sebagai seorang yang sudah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sudah pun bekerja, inilah masa untuk kita membayar balik pinjaman untuk kelangsungan pendidikan generasi akan datang.

“Saya melangsaikan bayaran balik pinjaman menggunakan saluran debit terus dan pengeluaran dari Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan melayakkan saya untuk mendapatkan insentif diskaun ini,” ujarnya.

Mohd Hakimi menamatkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam jurusan komunikasi massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2008.

Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:

AWANI

The post Rebut insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3prrlOH
via Denaihati.com