Bulan Ramadan merupakan bulan kita mengejar pahala. Dalam kesibukan bekerja dan menguruskan rumahtangga, mungkin ada yang terfikir cara mendapatkan pahala berlipat kali ganda semasa di bulan Ramadan.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengejar pahala berlipat kali ganda:
1 – Menjaga Tali Silaturrahim
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan).”Riwayat al-Bukhari dan Muslim
2 – Solat Berjemaah
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Siapa yang menunaikan solat Isyak berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah ia melakukan qiamullail separuh malam. Siapa yang solat Subuh berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah ia melakukan qiamullail sepanjang malam.”Riwayat Muslim
3 – Menghidupkan Masjid
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang mendirikan masjid kerana Allah, nescaya Allah binakan untuknya rumah di syurga.”Riwayat Muslim
Daripada Abu Darda’ r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla memberi jaminan kepada orang yang menjadikan masjid seperti rumahnya akan keamanan san melepasi titian Sirat pada hari kiamat.”Riwayat al-Bazzar
4 – Solat Sunat
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala maka diampunkan baginya dosanya yang lalu.”Riwayat Bukhari
“Mendirikan Ramadan” di sini bermaksud menghidupkan malam dengan solat sunat tarawih dan amalan-amalan lain.
Selain itu, solat-solat sunat yang dijanjikan pahala juga termasuklah solat witir, solat sunat rawatib dan solat-solat sunat yang lain.
5 – Bercakap Dan Buat Perkara Yang Baik
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah, dan membuang benda yang tidak disukai di jalan Allah adalah sedekah.”Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Daripada Abdullah bin Salam r.a., Nabi s.a.w bersabda:
“Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat.”Riwayat al-Tirmizi
6 – Mencari Ilmu Dan Menyampaikan Ilmu
Daripada Sa’ad Ibn Abu Waqqas r.a., Nabi s.a.w bersabda:
“Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak.”Riwayat al-Hakim
Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia.”Riwayat al-Tirmizi
Pada masa kini ada banyak ruang untuk menuntut ilmu terutama dalam meningkatkan kefahaman kita dalam hal agama. Malah, kita juga mempunyai banyak ruang untuk menyampaikan ilmu terutama di media sosial.
Namun begitu, berhati-hatilah dalam menyampaikan ilmu agar kita tidak menjadi ikutan yang buruk dan mendatangkan dosa serta perpecahan pula.
7 – Menjamu Orang Berbuka Puasa
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang menjamu orang untuk berbuka, baginya pahala seperti pahalanya.”Riwayat al-Tirmizi
8 – Berzikir
Sabda Nabi s.a.w (maksudnya):
“Sesungguhnya bagi Allah para malaikat yang berjalan di jalan-jalan mencari ahli zikir. Apabila mereka dapati satu kaum mengingati Allah, malaikat menyeri, “Marilah kepada hajat kamu semua”. Lalu mereka kelilingkan kaum tersebut dengan sayap-sayap mereka ke langit dunia.”Riwayat Bukhari
Berzikir dan beristighfar juga boleh dilakukan semasa membuat kerja dan selepas menunaikan solat.
9 – Membaca Al-Quran
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada golongannya.”Riwayat Muslim
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Dan tidaklah berhimpun satu kaum di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah membaca Al-Quran dan bertadarus antara mereka melainkan turunlah ketenangan atas mereka, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikar dan Allah menyebut mereka di sisiNya.”Riwayat Muslim
10 – Mencari Lailatul Qadar
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Dan sesiapa yang bangun mendirikan Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”Riwayat Bukhari
Ramadan adalah bulan latihan membentuk diri menjadi muslim yang baik. Semoga kebaikan-kebaikan ini berterusan walaupun selepas berakhirnya Ramadan.
Tzkrh
The post 10 perkara untuk gandakan pahala di Bulan Ramadan first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/aWALCvY
via Denaihati.com