Wednesday, 13 April 2022

4 peristiwa besar yang berlaku semasa Bulan Ramadan

Ramadan sering dibayangi dengan keletihan dan kelaparan kerana tidak makan dan minum pada siang hari. Namun, sejarah membuktikan sebaliknya.

Ada beberapa peristiwa besar yang berlaku semasa bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa puasa bukanlah sebab umat Islam menjadi lemah. Berikut adalah beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku di bulan Ramadan:

1 – Perang Badar al-Kubra

Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah. Ia adalah peperangan pertama umat Islam. Lebih menarik lagi peperangan ini turut disertai oleh malaikat.

Peperangan ini berlaku kerana Rasulullah SAW merampas kembali harta yang telah dicuri pihak Musyrikin Quraisy dan diniagakan di Syam.

Tentera Islam yang hanya berjumlah 313 orang telah berjaya mengalahkan tentera Quraisy yang berjumlah 1000 orang. Peperangan hanya berlangsung selama dua jam sahaja. Tentera musuh ada yang berlari menyelamatkan diri, ada yang ditawan, dan harta mereka pula ditinggalkan.

Pada masa inilah Abu Jahal terbunuh walaupun dia dikawal ketat oleh orang-orangnya.

2 – Pembukaan Mekah

Tarikhnya ialah pada 20 atau 21 Ramadan pada tahun kelapan Hijrah. Pada masa itu, Baginda memasuki Kaabah dan membersihkannya dengan menghancurkan berhala-berhala yang dibina di situ. Rasulullah SAW menyebut firman Allah dari surah al-Israa’ ayat 81 yang bermaksud:

“Dan katakanlah yang benar itu sudah datang dan yang palsu segera menghilang, sebab kepalsuan itu pasti akan lenyap.”

Peristiwa itu sendiri oleh pihak Quraisy yang sejak zaman nenek moyang mereka menyembah berhala. Selepas Kaabah dibersihkan daripada binaan berhala, Bilal pun mengalunkan azan. Kemudian mereka solat berjemaah dengan diimamkan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tinggal di Mekah selama 15 hari dan dalam tempoh itu, Baginda mengajar penduduknya mendalami ilmu agama. Turut diberi tanggungjawab adalah para pendakwah.

3 – Pembukaan Andalus

Thariq bin Ziyad ialah nama penting dalam pembukaan Andalusia (Sepanyol). Peristiwa ini berlaku pada 28 Ramadan tahun 92 Hijrah. Thariq bin Ziyad merupakan panglima handal di bawah kerajaan Umayyah.

Setelah Andalusia ditakluki, rakyatnya hidup lebih aman kerana mereka dibebaskan oleh pemimpin zalim yang sebelum ini memerintah mereka. Itulah sebabnya Islam mudah diterima oleh penduduk asal tanah yang ditaklukinya.

4 – Perang ‘Ain Jalut

Menurut sejarah, Tartar pernah menyerang umat Islam sebanyak dua kali termasuk semasa umat Islam di bawah pimpinan Abbasiyyah yang menyebabkan kejatuhan Baghdad. Pembunuhan umat Islam oleh tentera Tartar akhirnya terhenti melalui peristiwa penting di bulan Ramadhan iaitu peperangan ‘Ain Jalut.

Peperangan bertarikh 15 Ramadan tahun 658 Hijrah ini adalah peperangan yang berjaya menumpaskan tentera Tartar yang sekali lagi cuba menakluki tanah Islam. Kali ini sasarannya ialah Mesir.

Tartar yang sebelum itu angkuh dengan kejayaan demi kejayaan dalam peperangan akhirnya tumpas kepada tentera Islam di bawah pimpinan panglima hebat, Saifuddin Qutuz.

tzkrh

The post 4 peristiwa besar yang berlaku semasa Bulan Ramadan first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/0mbtgQS
via Denaihati.com