Thursday, 26 September 2019

Anak, tak mampukah nak balas jasa ibu bapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Seorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua ibu bapanya sama ada semasa hidup mahupun apabila keduanya telah meninggal dunia. Antara amalan kebajikan yang boleh dilakukan oleh seseorang anak kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia ialah:

  • Berdoa agar dicucuri rahmat
  • Memohon keampunan bagi dosa keduanya
  • Melaksanakan wasiatnya
  • Menyambung silaturahim keluarga dan kerabatnya
  • Memuliakan teman mereka

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah As-Sa’idi RA berkata: “Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda SAW.

Lelaki tersebut bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?.”

Baginda menjawab: “Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka.” (HR Abu Daud No. 5142) Status: Hadis Sahih

Marilah kita menghayati peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini?

Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang diredhai-Nya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, bertarung nyawa ketika melahirkan hinggalah membesarkannya.

Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal. Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.

Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.

Berbuat Baik Kepada Ibu bapa

Abdullah bin ‘Amru radliallahu ‘anhuma berkata: “Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad.

Maka Baginda bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Laki-laki itu menjawab: “ya”. Maka Baginda berkata: “Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) “. (Riwayat Bukhari No: 2842). Status: Hadis Sahih

Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang. Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2lqP4QG
via Denaihati.com