Monday, 30 September 2019

Kemalangan maut yang melibatkan 3 orang guru sekolah agama

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Mendengar perkhabaran tentang kemalangan yang membabitkan 3 orang guru di Sekolah Agama di Simpang Renggam di mana ketiga-tiga guru tersebut merupakan guru saya ketika saya bersekolah rendah di sana. Agak terkejut juga apabila saya mendapat berita ini di ‘Whatsapp’.

“INI mungkin ‘last’ (terakhir) saya telefon,” kata Allahyarham Mohd Khairy Abdul Jaafar, 37, kepada isterinya, Zainoor Hafizah Darsan, 39, sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Nitar-Mersing, Simpang Renggam, semalam.

Zainoor Hafizah berkata, pada jam 10 malam, 27 September lalu, arwah menghubungi memaklumkan dia bersama tiga rakan yang menyertai perkhemahan tiga hari sudah tiba di Gunung Arong, Mersing.

“Arwah menghubungi saya sekali lagi pada jam 12 tengah malam dan memaklumkan itu panggilan terakhir darinya kerana tidak membawa pengecas telefon dan tiada sumber kuasa (power bank).“Dia beritahu itu mungkin ‘last’ dia telefon sebab telefon bimbit dah nak habis bateri, ‘charger’ tidak bawa dan ‘power bank’ pula tiada,” katanya ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Paya, Jalan Benut, Simpang Renggam, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan kepada mereka berdua tidak mengganggu urusan antara satu sama lain, jika ada tugasan luar atau jauh.

“Memang itulah kali terakhir dia telefon saya, sehingga saya menerima berita mengenai kemalangan meragut nyawanya, semalam,” katanya.

Mohd Khairy yang juga guru dan Pegawai Data di Sekolah Rendah Islam As-Syddiq meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas Perodua Myvi dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Nitar-Mersing, Mersing, petang semalam.

Kemalangan itu turut meragut nyawa guru besar sekolah berkenaan, Shamjudin Romani, 59, dan seorang lagi guru, Sodiq Abu Bakar, 40.

Zainoor Hafizah berkata, dia menerima berita kemalangan membabitkan kakitangan sekolah itu ketika berada di pejabat pada jam 2 petang semalam.

“Ketika itu pihak sekolah menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kemalangan membabitkan tiga individu.

“Saya terdengar dari seorang kerani mengenai keadaan Sodiq yang meninggal dunia akibat kemalangan, namun tidak mengetahui identiti dua yang lain,” katanya.

Katanya, dia tertanya-tanya siapa dua lagi individu di dalam kereta Sodiq.

“Ketika perjalanan pergi, suami menumpang kenderaan rakan lain, namun difahamkan, rakannya itu sudah pulang lebih awal menyebabkan suami menaiki kereta dipandu Sodiq.

“Apabila disahkan suami saya antara yang turut berada dalam kereta yang kemalangan itu, saya sangat terkejut.

“Ketika itu saya diberitahu keadaan suami 50-50. Saya terus bergerak ke Hospital Mersing dan tidak putus berdoa semoga suami selamat, namun ketika dalam perjalanan, saya mendapat tahu suami sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Khairy dan Zainoor Hafizah sama-sama berkhidmat di sekolah terbabit sejak 2004, sebelum berkahwin pada 2006 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak Abdurrohman Auf, 11, Aiesyah Nur Hidayah, 5, dan Adnin Nur Hidayah, setahun lapan bulan.

“Ketika dia telefon malam itu pun, dia asyik minta maaf sebab tak bantu saya sidai kain baju dan minta maaf sebab tak sempat tolong kemas rumah. Dia sangat baik dengan anak-anak dan dia tak pernah marah dan tinggi suara.

“Dia pesan suruh saya jaga diri,” katanya dalam nada sebak.

Zainoor Hafizah berkata, selepas panggilan telefon terakhir itu, Allahyarham Mohd Khairy ada mengirimkan satu lagu nasyid menerusi WhatsApp, namun dia tidak membukanya.

“Saya pun tak pasti kenapa saya tak buka kiriman WhatsApp itu, sehinggalah semalam selepas dia meninggal dunia, saya tergerak hati melihat kiriman yang dihantar.

“Arwah menghantar satu lagu nasyid. Dia beritahu itu lagu tema perkhemahan dan dia sertakan dua ‘emoticon’ bentuk khemah dan wajah menangis.

“Apabila saya mainkan lagu itu, rupanya lirik lagu itu sarat dengan nasihat dan saya tahu itu nasihat dia kepada saya,” katanya. Jenazah Mohd Khairy yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya, Jalan Benut kira-kira 9.30 pagi tadi.

Saya sebagai anak muridnya sentiasa mendoakan ketiga-tiga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan orang-orang yang soleh. Semoga kamu tenang di sana. Rehatlah dengan baik ya wahai cikguku!

Kredit: Harian Metro



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2meJOjx
via Denaihati.com