Ada sebuah ayat dalam surah Al-Baqarah yang menyebut bahawa sabar dan solat hendaklah dijadikan sebagai perisai dan juga penolong buat kita semua.
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Mafhum: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, 2:45)
Mengapa Allah menyuruh manusia untuk menjadikan jalan sabar dan solat itu sebagai salah satu bentuk meminta pertolongan kepada Allah?
Sabar Adalah Kunci Kejayaan
Syeikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin menyebut bahawa Allah memerintahkan supaya kita menjadikan Dia sebagai tempat untuk meminta pertolongan. Dan pertolongan Allah tidak akan datang sekelip mata. Justeru, manusia diajar untuk bersabar dengan ujian yang Allah berikan.
واعلم أن النصر مع الصبر، وأن الفَرَج مع الكرب، وأنّ مع العسر يسراً
Maksud: “Dan ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran dan sesudah kesulitan itu akan datang kemudahan.” (HR Abdullah Ibnu Abbas, 1/328)
Manusia yang bersabar dengan ujian, perkara dan dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat yang dituju, ia adalah jalan yang paling selamat kepada mereka.
Jangan melakukan sesuatu dengan terburu-buru atau tidak sabar kerana ia boleh membawa diri kita kepada kemudaratan yang tidak diundang.
Dalam Al-Quran sendiri, terdapat lebih kurang 94 perkataan sabar yang disebut. Ulama juga menyebut bahawa ia merupakan salah satu perbuatan yang boleh mendatangkan keredaan Allah.
Solat Adalah Asas Kepada Manusia
Kita mengetahui bahawa asas utama kepada iman seseorang adalah melalui solatnya. Bahkan, solat adalah amalan utama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Bukan itu sahaja, solat merupakan salah satu cara yang membantu jiwa manusia untuk tenang dalam menghadapi masalah yang ada. Sebagaimana Rasulullah SAW juga pernah disebutkan dalam beberapa hadis, Baginda akan menjadikan solat sebagai penyelesai kepada masalah.
كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ إذا حزبَهُ أمرٌ فزعَ إلى الصَّلاةِ
Maksud: “Bahawa Rasulullah SAW apabila mengalami sesuatu masalah serius, Baginda segera melakukan solat.” (HR Ahmad, 1/110)
Kita juga melihat ada pelbagai jenis solat yang ada seperti solat sunat Istikharah, solat sunat Hajat dan solat sunat Duha. Solat-solat inilah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda sedang dalam kesulitan.
Solat adalah perisai untuk kita semua agar boleh menjadi mukmin yang sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah.
Inilah yang dimaksudkan dengan solat dan sabar sebagai salah satu jalan untuk meminta pertolongan kepada Allah SWT. Ia adalah petunjuk kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ini.
Wallahu a’alam
Kredit: Tzkrh
The post Mintalah pertolongan Allah dengan sabar dan solat first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/34XKQDn
via Denaihati.com