Sunday, 17 October 2021

Antara Kriteria seorang lelaki yang boleh dijadikan calon suami

Bukan lelaki sahaja yang mempunyai hak untuk memilih calon isteri, tetapi juga wanita yang berhak memilih pasangan yang sesuai untuk rumah tangga yang bakal dibina.

Ada sebuah hadis yang disebut mengenai perihal ini yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda;

لا تُنْكَحُ الأيِّمُ حتَّى تُسْتَأْمَرَ، ولا تُنْكَحُ البِكْرُ حتَّى تُسْتَأْذَنَ قالوا: يا رَسولَ اللَّهِ، وكيفَ إذْنُها؟ قالَ: أنْ تَسْكُتَ

Maksud: “Janda tidak boleh dinikahkan sehingga dia diminta izinnya dan gadis tidak boleh dinikahkan sehingga diminta izinnya.”

Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana izinnya?”

Baginda menjawab: “Apabila ia diam.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5136)

Ulama berpendapat bahawa, wanita yang telah baligh dan berakal yang mampu menentukan antara yang baik dan buruk, maka mereka berhak memilih calon suami mereka atau diminta izin terlebih dahulu sebelum dikahwinkan.

Tidak boleh meletakkan mereka dalam keadaan tidak rela atau situasi kahwin paksa. Seperti yang dinyatakan, wanita juga pasti mempunyai kriteria suami yang diimpikan.

Antara kriteria suami idaman yang perlu diambil perhatian untuk membawa kebaikan dalam rumah tangga ialah;

1 – Memahami Agama Dan Boleh Menjadi Imam Terbaik Bagi Keluarga

Untuk menjadi ketua keluarga, anda perlu mempunyai ilmu agar keluarga yang dibina itu mampu terbina berlandaskan ilmu.

Penguasaan ilmu agama perlu kukuh agar rumah tangga yang dibina mampu berkekalan ke syurga.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Mu’awiyah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa yang Allah kehendaki mendapatkan seluruh kebaikan, maka Allah akan memahamkan dia mengenai agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 71)

2 – Menjaga Kebajikan Keluarga

Dari Mu’awiyah Al-Qusyairi RA, ia bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kewajipan suami kepada isteri, lalu Baginda menjawab:

Maksud: “Engkau memberinya makan sebagaimana engkau makan. Engkau memberinya pakaian seperti mana engkau berpakaian atau engkau usahakan dan engkau tidak memukul isterimu pada wajahnya dan engkau tidak memburuk-burukkannya serta tidak memulaukannya (dalam bentuk nasihat) selain di rumah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2142. Ia dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

3 – Berusaha Meluangkan Masa Bersama Keluarga

Saidatina ‘Aisyah pernah menceritakan mengenai peribadi Baginda SAW ketika bersamanya;

Maksud: “Beliau pernah bersama Baginda SAW dalam sebuah perjalanan. ‘Aisyah lalu mengajak Nabi SAW berlumba lari bersama beliau dan Baginda SAW dikalahkan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2578. Ia dinilai sahih oleh Al-Hafizh Abu Thahir)

Walaupun jadual dan rutin harian dilanda kesibukan, namun cuba untuk sentiasa mencari ruang meluangkan masa bersama ahli keluarga kerana keharmonian keluarga juga datangnya daripada memori yang dicipta bersama.

4 – Menegur Kekurangan Isteri Dengan Berhemah

Jika seseorang wanita itu ada melakukan kesalahan atau perkara yang tidak sepatutnya, maka menjadi tanggungjawab suami untuk menegurnya dengan cara yang berhemah.

Jangan ditinggalkan atau diambil pendekatan silent treatement kerana penjelasan itu lebih baik diberikan sebelum mengundang kepada salah faham yang lebih besar.

Dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Jika seorang lelaki tidak menyukai akhlak dan peribadi wanita tersebut, maka hendaklah ia melihat sisi lain yang diredainya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1469)

Kesimpulan

Perkahwinan itu merupakan sebuah medan untuk mengumpul pahala dan melakukan ibadah. Perjalanan perkahwinan itu bukanlah untuk sehari dua, namun ia merupakan perjalanan yang panjang.

Jadi, letakkanlah ciri idaman calon suami anda yang boleh sama-sama menjadikan rumah tangga yang dibina sebagai sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan dilimpahi rahmatNya.

Tzkrh

The post Antara Kriteria seorang lelaki yang boleh dijadikan calon suami first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3n0z3wE
via Denaihati.com