Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Doa merupakan senjata buat orang-orang yang beriman dan ia merupakan salah satu ibadah yang amat istimewa kerana ia menghubungkan secara terus seseorang hamba itu dengan Penciptanya iaitu Allah SWT. Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
al-Ghafir:60
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Di samping itu juga, anak-anak merupakan harta yang cukup berharga buat ibubapa dan anak-anak ini juga merupakan perhiasan hidup di dunia buat mereka. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
al-Kahfi: 46
Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”
Doa ibubapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nai SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah (3862)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi]
Tanggungjawab Dan Peranan Seorang Anak
- Hormat Menghormati
Ibu bapa adalah orang yang menjaga dan mendidik kita dari kecil. Walaupun mereka marah, memukul (dengan kadarnya) dan membuatkan kita merasa dibenci, namun hakikat yang sebenarnya mereka sangat menyayangi kita. Bak kata pepatah, bagai menatang minyak yang penuh. Oleh itu, tanggungjawab seorang anak haruslah bersikap lebih matang dalam menghormati dan memberi kasih sayang kepada ibubapa.
- Sentiasa Mendoakan Ibubapa
Seorang anak yang bertanggungjawab sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapa mereka. Hal ini demikian kerana, tanggungjawab anak mendoakan kesejahteraan kepada ibubapanya memberi seribu kebaikan.
Hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim juga menyatakan tentang tiga perkara yang pahalanya akan terus mengalir untuk orang yang melakukannya walaupun dia sudah meninggal dunia. Salah satunya daripada pahala itu adalah anak soleh yang mendoakannya.
Oleh itu, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa juga adalah untuk mendoakan perkara yang baik supaya ibu bapa dihindari dari azab api neraka.
- Menolong Ibu Bapa
Anak yang bertanggungjawab akan menolong ibubapa dalam segala hal. Hal ini demikian kerana tanggungjawab anak adalah untuk mengurangkan beban mereka dengan membantu mereka membuat kerja. Menolong ibu bapa dalam mengemas rumah, memasak, membantu kerja pembaikian dan sebagainya memberikan anak pahala.
Sebagai anak yang bertanggungjawab, anda harus mencari cara untuk meringankan kerja ibubapa supaya dikemudian hari Allah swt akan meringkankan beban kita sendiri.
Penutup
Kesimpulannya, di antara tanda sifat pemurah dan penyayang Allah SWT kepada kita semua adalah dengan memberikan doa-doa yang mustajab buat hamba-hamba-Nya. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk berusaha dan memperbanyakkan berdoa kepadanya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa dimustajabkan doanya serta agar Allah SWT memelihara lidah kita daripada berdusta di atas nama Baginda SAW. Amin.
Wallahua’lam
Follow kami di SANTAPANMINDA
The post Doa ibu dan tanggungjawab anak kepada kedua orang tua first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/3EMKT4J
via Denaihati.com