Friday 30 April 2021

Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu ke-13

Kita sudah sedia maklum bahawa Ketua Polis Negara ke-12, Tan Sri Hamid Bador yang akan tamat kontrak pada 3 Mei ini bakal digantikan dengan Timbalan Ketua Polis Negara iaitu Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara baharu ke-13 berkuat kuasa 4 Mei ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Acryl Sani di sini hari ini.

Hamzah berkata pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara adalah sehingga 3 Okt 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Beliau yang dilahirkan pada 3 Okt 1961 di Petaling Jaya, Selangor itu berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Acryl Sani telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

The post Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu ke-13 first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/32Zgsr5
via Denaihati.com