Saturday, 25 September 2021

Pengunjung ingkar SOP di Pantai Bagan Lalang dikenakan kompaun minggu depan

Pengunjung Pantai Bagan Lalang di sini, yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19 akan dikenakan kompaun mulai minggu depan

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain, berkata mereka yang ingkar akan dikompaun sehingga RM 2,000 bagi individu manakala RM 10,000 membabitkan syarikat atau perbadanan.

Katanya, kompaun itu akan dikeluarkan mengikut P17(1) AKPB88.

Tambahnya, tindakan tegas itu diambil selepas pihaknya bertolak ansur selama dua minggu ketika pemantauan di kawasan berkenaan, dengan memberikan pendidikan kesihatan kepada pengunjung.

“Pemeriksaan memang dijalankan, jadi kita harap mereka dapat patuh SOP. Saya nasihatkan pengunjung, dengan kapasiti yang ramai ini, kita harap mereka dapat mengawal secara kendiri tanpa menunggu penguat kuasa.

“Jadi sekiranya penguat kuasa datang, kompaun yang saya katakan tadi boleh dilaksanakan” katanya pada sidang media mengenai SOP Bagan Lalang pada Sabtu.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, terdapat peningkatan kutipan sampah di kawasan itu sehingga mencecah enam tan pada hujung minggu.

“Sama-sama kita ambil bahagian untuk jaga kebersihan pantai sebab tak nak lebihan makanan dicampakkan ke laut, tepi pantai dan sebagainya yang akan beri kesan kepada alam sekitar.

“Kalau boleh guna tong sampah yang kita sediakan dan dengan inisiatif pengunjung sendiri, bawa balik sampah tersebut. Contohnya, datang dari Gombak, bawalah balik buang di Gombak, kalau datang dari Semenyih bawalah balik buang di Semenyih supaya tidak memberi beban kepada orang Sepang untuk uruskan sampah yang tuan-tuan bawa ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memeriksa 243 premis serta 2,968 pengunjung pantai berkenaan antara 16 sehingga 24 September lalu.

“Sebanyak 34 daripada 243 premis gagal mematuhi SOP selain seramai 98 pengunjung dan peniaga dikenal pasti tidak lengkap vaksinasi dan diarahkan pulang serta-merta,” katanya.

Sumber: Awani

The post Pengunjung ingkar SOP di Pantai Bagan Lalang dikenakan kompaun minggu depan first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/2WhRoMw
via Denaihati.com