Tuesday, 14 September 2021

Tanda-tanda kematian yang baik (Husnul Khatimah)

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Namun, tidak ada siapa yang tahu bagaimana kematian akan mendatanginya satu hari nanti, apakah amalan terakhir yang akan dilakukan sebelum ajal menjemput.

Apabila ada berita kematian yang menjengah, ramai yang akan tertarik bertanya pelbagai soalan. Jika diketahui hari si mati meninggal dunia adalah hari Jumaat, ramai yang akan mengucap kata-kata pujian kerana ia tanda kematian yang baik. Jika ramai pula yang memuji kebaikan yang dilakukan si mati semasa hayatnya, maka itu juga dikira tanda kematian yang mulia.

Namun ketahuilah bahawa tanda kematian yang baik juga adalah Allah memberikan taufiq dan hidayah untuk beramal soleh sebelum meninggal dunia.

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, no.2142)

Oleh kerana kita tidak tahu bila saat kematian yang akan mendatangi diri sendiri, maka seharusnya kita berusaha melakukan amal soleh setiap kali ada ruang dan peluang. Rasa mudah dan ringan untuk melakukan ibadah juga adalah tanda bahawa Allah inginkan kebaikan buat hamba-hambaNya.

Namun perlu diingat bahawa ia perlu seiring dengan azam dan keinginan dari dalam hati sendiri jua. Pasti Allah akan memudahkan jika kita benar-benar ada kemahuan dan keinginan.

Kematian adalah pengakhiran hidup di dunia dan permulaan bagi perjalanan ke alam akhirat. Jika baik perjalanan hidup dan amal di dunia, maka baik juga perjalanan di akhirat kelak, InsyaAllah.

Baca: Amalkan 5 Doa Ini Setiap Hari – Allahyarham TG Ismail Kamus

Kredit : Mufti Wilayah Persekutuan

The post Tanda-tanda kematian yang baik (Husnul Khatimah) first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/2YXyETq
via Denaihati.com