KUALA LUMPUR: Permulaan satu era dan harapan baharu untuk Sepang Racing Team (SRT) dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) apabila pasukan itu kini dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing.
Mengikut satu laporan dalam motogp.com, RNF MotoGP Racing akan berlumba sebagai satu pasukan ‘independent’ (bebas) dalam kelas MotoGP bermula 2022 sehingga sekurang-kurangnya 2026, dengan Datuk Razlan Razali kekal sebagai prinsipal pasukan, dengan pasukan itu terus berusaha untuk mencapai kejayaan lebih baik.
Razlan berkata, pasukan yang dijenamakan semula itu akan meneruskan rangka tindakan yang telah terbukti berjaya sebelum ini dan harapan sudah semestinya tinggi dan mereka akan terus bekerja keras untuk mencapai sasaran.
“Ia satu perjalanan yang bergelora untuk kami. Dalam tempoh beberapa bulan ini, kami telah melakukan usaha untuk set semula, menjenamakan semula dan melancarkan semula sebagai satu pasukan MotoGP yang segar dan lebih kuat.
“Berbekalkan dengan pengalaman yang kami ada dan pelbagai kejayaan pada masa lalu, kami teruja untuk menyertai musim 2022 dengan penyertaan satu pasukan yang lebih kuat,” katanya.
Dalam masa sama, Razlan turut mengambil peluang untuk berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta (pemegang hak eksklusif pengiklanan dan penyiaran televisyen MotoGP) atas kepercayaan dan keyakinan berterusannya kepadanya, untuk memulakan bahagian kedua ini dengan sebuah pasukan baharu yang dibina semula, untuk bertanding dalam kelas premier MotoGP untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu Carmelo menggambarkan Razlan sebagai seorang yang amat meminati projek itu dengan mendalam dan percaya kejayaan yang baik akan dihasilkan oleh pasukan baharu itu untuk musim akan datang dan seterusnya.
“Razlan telah menjadi satu aset yang penting untuk keluarga MotoGP sejak beliau bermula di Sepang, dan telah membantu meningkatkan sukan itu di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara secara amnya,” katanya.
Penjenamaan semula itu berlaku berikutan perpisahan antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan SRT bulan lepas, selepas litar itu dan Petronas membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama mereka berkaitan nama Petronas SRT dalam Kejuaraan MotoGP Dunia pada penghujung musim 2021.
Pemisahan antara kedua pihak itu membuka peluang untuk SRT menjalani proses penjenamaan semula.
Menerusi kerjasama mereka, pasukan itu mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Kelas Premier pada musim pertama mereka 2019, dengan memenangi kedudukan sebagai Pasukan Bebas Terbaik (Top Independent Team) dan menamatkan pada kedudukan keempat Kejuaraan MotoGP Dunia.
Pada musim 2020 yang dilanda pandemik, pasukan itu mencatatkan enam kemenangan untuk menduduki tempat kedua Kejuaraan Dunia dan sekali lagi gelaran Pasukan Bebas Terbaik, manakala Franco Morbidelli menduduki tempat kedua keseluruhan.
Sumber: Awani
The post SRT dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/39lvcno
via Denaihati.com