Pembaharuan negara China pada tahun 1980 telah merubah hidup ramai rakyatnya. Jack Ma, pengasas Kumpulan Ali Baba yang terkenal, adalah salah seorang daripada mereka. Ceritanya bermula sejak organisasi Australia-China menghantar wakil dari Australia ke China untuk meninjau beberapa tempat, termasuk Hang Zhou, kampung halaman Jack Ma.
Pihak kedutaan Australia menghantar seorang lelaki bersama isterinya, Ken Morley dan Judi untuk menjadi wakil mereka. Ken, seorang jurutera bersara, turut membawa bersama ketiga-tiga anak mereka iaitu David, Steven dan Susan dalam trip mereka.
Pada satu hari, ketika mereka melakukan tinjauan di Taman Xi Hu, David mendapat rakan baru pertamanya di China, Jack Ma yang ketika itu secara sukarela menegur David dalam usahanya untuk menambah baik Bahasa Inggerisnya yang masih kurang fasih.
Disebabkan ketika itu China baru sahaja mengamalkan dasar buka pintu kepada negara luar, ramai rakyatnya begitu teruja untuk mempelajari Bahasa Inggeris, termasuk Jack Ma.
Dengan kemahiran bertutur Bahasa Inggerisnya yang 'sedang-sedang', dia memberanikan diri untuk berbual-bual dengan David. Sejak itu, mereka menjadi rakan baik dan berjumpa setiap hari di lokasi yang sama.
Setelah keluarga Ken pulang ke Australia, hubungan David dan Jack Ma berterusan dengan saling berbalas surat lalu mereka menjadi sahabat pena pula.
Masa berlalu, hubungan mereka menjadi sangat akrab sehingga Jack Ma turut memanggil Ken sebagai 'Ayah'. Begitu juga sebaliknya, Ken sangat menyukai Jack Ma. Ken akan memperbaiki kesalahan tatabahasa Jack Ma dalam setiap surat yang dikirimkan, jadi Jack Ma juga dapat belajar dari situ.
Situasi ini berlarutan selama 5 tahun. Pada tahun 1985, pada usia 21 tahun Jack Ma menjadi ketua mahasiswa di Universiti Hangzhou dan dalam tahun yang sama, Jack Ma dijemput oleh Ken untuk ke Australia. Jack yang sebelum itu tidak pernah ke luar negeri, bersungguh-sungguh untuk mendapatkan visa dan pasport buat kali pertama.
Jack berjaya mendapat pasport pertamanya dengan sokongan penuh dari Ken, namun urusannya tidak semudah yang dijangka, Visanya tidak dapat dikeluarkan. Ini disebabkan Australia menyukarkan pengeluaran visa ketika itu. Permohonan akan ditolak jika bukan kerana alasan pendidikan atau melawat keluarga yang mempunyai pertalian darah, begitu juga dengan Jack, di mana permohonannya sudah ditolak sebanyak 7 kali.
Namun Jack yang tidak mudah berputus asa, terus berusaha walaupun dia perlu menghabiskan hampir keseluruhan wang miliknya dan juga tinggal di ruangan bawah tanah. Ken yang mahu membantu Jack, meminta pertolongan rakannya di kedutaan Australia untuk membuat laporan tentang situasi itu.
Sekali lagi, Jack Ma pergi ke kedutaan besar Australia dan kali ini bertemu dengan pegawai yang bertanggungjawab di sana, "Aku sudah seminggu menunggu di sini dan ini adalah peluang terakhirku! Aku harap kita boleh berbincang tentang hal ini!"
Pegawai itu yang terkejut terus bertanya apakah yang membuatkan Jack tampak begitu kesal, "Permohonanku untuk mendapatkan visa sudah ditolak sebanyak 7 kali sepanjang seminggu aku di sini hingga habis semua wang dibelanjakan. Aku tidak kisah jika diminta untuk pulang, tetapi sekurang-kurangnya tolong jelaskan kenapa permohonanku untuk mendapatkan visa ditolak sehingga 7 kali!"
Jack turut menceritakan tentang hubungan rapatnya dengan keluarga Ken. Akhirnya pegawai itu bertanya, "Bolehkah saudara menunggu selama 3 hari lagi?" namun ditolak oleh Jack dengan mengatakan dia hanya mahu menunggu selama 30 minit sahaja lagi.
Melihat kesungguhan Jack, pegawai itu berkata,"Baiklah, saudara betul-betul mahu visa ini? Beri saya masa 5 minit!"
Jack Ma akhirnya berjaya mendapat visa yang diidamkan dan bertolak ke New Castle, Australia selama 29 hari. Di sana, dia mendapat banyak pengalaman yang sangat berguna dan berbeza dengan di China. Dia belajar pelbagai perkara yang membuatkan mata dan pemikirannya lebih terbuka. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Jack merasakan rakyat China perlu berubah dan memiliki pemikiran dan pandangan seperti orang di Australia.
Di sana dia juga melihat ramai orang mengamalkan 'Tai-Chi', senaman kecergasan yang menjadi minatnya. Dia juga turut mengajar senaman itu kepada penduduk di sebuah kawasan perumahan di New Castle.
Tidak cukup dengan hanya pengalaman, Jack juga mempelajari Bahasa Inggeris 'ala' Australia. Dia pulang ke China dengan budaya, pemikiran, pengetahuan yang baru dan juga hubungannya dengan keluarga Ken semakin rapat.
Selepas itu, Ken membawa pula Steven untuk melawat Jack Ma di Hang Zhou. Disebabkan Jack tidak mempunyai kediaman yang cukup besar, dia hanya mampu untuk memberi mereka tempat tinggal di sebuah asrama sekolah.
Ken Morley dan isterinya Judi, bersama Jack Ma.
Segar di ingatan Steven, bagaimana mereka makan dan minum di rumah Jack, berbasikal ke sekolah, dan layanan yang diberikan Jack kepada mereka. Dari situ Ken merasakan bahawa Jack adalah orang yang luar biasa, dan akan berjaya satu hari nanti.
Sebelum Ken kembali ke Australia, dia menyedari bahawa Jack Ma mengalami tekanan ekonomi yang agak teruk, lalu dia memutuskan untuk membantu Jack dari segi pembiayaan persekolahannya untuk setiap semester dan selama 2 tahun itu, jumlah keseluruhan yang dibelanjakannya adalah lebih kurang RM660. Sudah semestinya, bantuan yang diberikan sangat membantu dan Jack Ma amat berterima kasih di atas jasa Ken.
Tanggal September 2004, Ken meninggal dunia pada umur 78 tahun. Disebabkan hubungannya dengan Jack Ma selama 24 tahun itu sangat rapat, pemergian Ken membuatkan Jack sangat sedih dan berdukacita. Jack yang telah menganggap Ken sebagai ayah, guru, bahkan sahabatnya merasakan satu kehilangan yang amat besar. Rancangan mereka untuk bercuti ke Siberia dengan keretapi juga tidak kesampaian.
Tahun berganti tahun, Jack Ma yang telah menjadi individu yang sangat terkenal di China dan seluruh dunia dikunjungi oleh anak Ken, David dengan hasrat untuk merealisasikan impian Jack dan Ken yang belum tercapai. David memahami bahawa kini sukar untuk Jack bercuti atau berhibur seperti orang biasa, namun dia tetap berharap bahawa dia mampu menjadi ganti kepada ayahnya untuk merealisasikan impian itu.
Pada 3 Februari 2017 yang lalu, Jack Ma telah menyumbangkan wang sebanyak USD 20 juta kepada Universiti New Castle di Australia sebagai tanda penghargaan dan juga untuk membalas jasa ayah angkatnya, Ken. Dengan sumbangannya ini, dia berharap anak-anak muda yang mempunyai masalah yang sama dengannya satu ketika dahulu dapat memanfaatkan wang tersebut untuk melihat dunia luar dan membuka mata hati mereka.
Ketika sumbangan itu diserahkan, David yang hadir sebagai wakil keluarganya merasa sangat bangga dan terharu menyaksikan lahirnya seorang individu yang amat luar biasa hasil daripada kebaikan ayahnya.
Jika Ken masih hidup, dia pasti akan berasa bangga dan menangis gembira apabila melihat sendiri kejayaan anak didiknya, Jack Ma pada hari ini yang telah menjadi pahlawan perniagaan dunia.
Kisah hidup Jack Ma ini yang sangat jarang dikongsikan, berjaya mengubah hidup ramai orang dan menjadi inspirasi kepada sesiapa yang mungkin kini berada di satu tahap rendah agar tidak berputus asa dan sentiasa berusaha untuk belajar dan mengejar impian mereka.
Adakah anda terkesan dengan kisah Jack Ma ini? Jangan lupa kongsikan!
Sumber: http://iluminasi.com/
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2oFDVaF
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2nlXcNx
via MerahHatiCintaku.blogspot.com