Sunday, 26 March 2017

Benarkah Mandi Malam Punca Penyakit Paru-Paru Berair? Dengar Apa Kata Pegawai Perubatan Ini


“Jangan suka mandi malam, nanti paru-paru masuk air!”

Inilah antara kepercayaan atau ‘mitos’ yang biasa kita dengar dalam masyarakat Melayu berhubung soal mandi malam.

Bahkan sehinggakan anda dewasa, mitos yang sama masih kedengaran dan kadangkala anda juga akan bercakap sedemikian pada anak anda.

Adakah benar mandi waktu malam punca penyakit paru-paru berair?

Sebenarnya, tidak.

Mandi malam tidak mendatangkan penyakit paru-paru berair, yang dikaitkan dengan masalah Pulmonari Edema dan pneumonia.

Pulmonari Edema adalah pengumpulan air berlebihan pada ruang tisu dan organ. Kesannya, paru-paru bengkak dan berair.

Punca berlakunya penyakit ini adalah disebabkan oleh kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi kiri jantung. Maka, kepercayaan sesetengah pihak bahawa ianya berpunca daripada kemasukan air ketika mandi adalah salah.

Manakala penyakit Pneumonia pula disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus dalam paru-paru yang menyebabkan keradangan berlaku.

Malah, Pneumonia juga boleh dijangkiti melalui udara yang disebarkan menerusi air liur dan hingus pesakit. Sekali lagi, ia bukan berpunca dari mandi malam.

Cecair yang terdapat dalam paru-paru pula bukanlah sama seperti air yang kita minum atau air paip yang dikatakan masuk kedalam paru-paru ketika mandi, tetapi ia adalah cecair yang dipenuhi nanah yang banyak malah adakalanya bercampur darah dan bendalir tubuh.

Tanda-tanda yang boleh dilihat biasanya pesakit akan mengadu mengalami batuk, sakit dada dan sukar bernafas apabila melakukan kerja-kerja ringan.

Pada peringkat awal, rawatan akan dilakukan dengan menggunakan imbasan x-ray pada dada. Kemudian, pemeriksaan darah dan pemeriksaan fungsi paru-paru akan dilakukan.

Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita, apatah lagi dalam cuaca hangat seperti di negara kita.

Jika badan tidak dibersihkan dengan mandi terutama dalam cuaca panas, maka influenza dan penyakit yang lain lebih mudah menyerang tubuh anda.

Kesimpulannya, anda tidak lagi perlu risau sekiranya mandi malam. Mandi siang atau malam sebenarnya baik untuk kita kerana ia membersihkan tubuh kita.



from Sehinggit Media News http://ift.tt/2np4LWK
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2nWzjko
via MerahHatiCintaku.blogspot.com