Berita kematian seorang pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 26 April lalu ditangisi oleh setiap umat Islam. Kemuliaan di dunia diperoleh pelajar tahfiz berusia 11 tahun ini bukan sedikit kerana semua pihak bercakap mengenainya termasuklah salam takziah dari istana, pemimpin negara, mufti dan banyak pihak yang bersimpati selepas kesnya menjadi tular bila mana kakinya bertukar kehitaman selepas dikatakan dirotan oleh pembantu warden madrasah tempatnya menuntut ilmu.
Menurut bapa arwah, Mohd Gadaffi, 43 tahun, mereka sekeluarga masih merasai kesedihan namun masa yang sama redha dengan ketentuan Allah. “Allah sebaik-baik perancang. Sebagai orang Islam kami semua redha dengan pemergiannya. Alhamdulillah, segalanya baik,” katanya yang dihubungi tiga hari selepas pemergian anak ketiganya itu.
Dia berkongsi kisah yang mungkin ramai tidak mengetahuinya lagi dan berkali-kali menegaskan tiada sebarang tindakan akan diambil kepada pihak madrasah tersebut namun dia menyerahkan perbicaraan kes kepada pihak berkuasa.
“Yang salah tetap salah dan biarlah undang-undang menentukannya,” katanya berulang kali.
CERITA SEBELUM KEMATIAN
Di sebalik kejadian yang berlaku, Mohd Gadaffi berkongsi satu kisah yang mungkin ramai tidak tahu, malam sebelum arwah Thaqif atau mesra disapa Akim, bapa mentuanya, Ahmad Motai, 60-an ada bermimpi mengenai anak ketiganya itu.
“Malam sehari sebelum Akim dijadualkan memotong sebelah tangannya, mentua saya bermimpi Akim datang dan memberitahu dia tidak mahu tangannya itu dipotong. Biarlah seperti keadaan asal kelahirannya. Bahkan kata Akim, dia tidak mahu lagi menyusahkan ibu bapanya dengan keadaan dialami itu.
“Jam 8 pagi, 26 hb April itu, sepatutnya Akim dijadualkan dipotong sebelah tangannya yang telah dijangkiti kuman. Doktor pakar ada menemui keluarga kami tetapi beliau memaklumkan kondisi Akim tidak berapa stabil ketika itu. Pagi itu, saya dan adik ada membaca Yasin di sebelahnya. Tapi nampaknya Akim memang menunggu datuknya kerana selepas Zuhur datuknya tiba. Separuh bacaan Yasin, datuknya meraup ke arah muka Akim dan kala itulah Akim menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 2.05 petang,” katanya memaklumkan anaknya itu selamat dikebumkan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping, Kota Tinggi.
Jelas Mohd Gadaffi lagi, hubungan arwah Akim dan bapa mentuanya agak rapat malah semasa mengikut emaknya balik berpantang anak kelima di kampung, Akim sempat membacakan surah Mulk di hadapan datuknya. Kata Akim, dia ingin menjadi huffaz satu hari nanti,” katanya yang masih sebak.
Terima kasih Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah atas keprihatinan dan kebersamaan ini.
Kali Terakhir Bawa Akim Naik Motor
Sudah menjadi niat di hati mereka sekeluarga, setiap anak lelaki akan dijadikan hafiz, kata Mohd Gadaffi, anaknya itu secara sukarela meminta untuk bersekolah di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor ketika usianya 11 tahun.
“Sejak kecil, saya sudah menyekolahkan Akim di sekolah agama. Bila dia besar sedikit, Akim minta masuk ke madrasah tahfiz. Mengikut peraturan yang dinyatakan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setiap pelajar tidak boleh berhubung dengan ahli keluarga selama 40 hari berturut-turut.
“Akim baru dua bulan bersekolah di sini. Alhamdulillah dia memang ada kemahuan untuk bergelar huffaz. Saya sangat berbangga kerana arwah sudah mampu menghafal surah al-Mulk dan Surah Yasin. Bukan mudah pada usianya untuk menghafal dalam jarak masa yang agak pendek tetapi Akim berjaya melakukannya. Saya sangat bersyukur kerana kecerdasan akalnya di mana dia begitu bersungguh-sungguh untuk berjaya,” katanya yang mempunyai lima orang anak, dua perempuan dan tiga lelaki. Anak sulungnya belajar di Universiti Tun Hussein Onn, kedua tingkatan empat diikuti arwah Thaqif, adiknya, 6 tahun dan baby berusia 3 bulan.
Dalam pada itu, kala bercerita kali terakhir dia bertemu anaknya itu, kata Mohd Gadaffi, dia sempat menghantar anaknya itu kembali ke madrasah tahfiznya pada hari Jumaat dalam perjalanan dia mahu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Akim ada balik seketika. Dia sempat bacakan surah al Mulk di hadapan kami. Disebabkan dia suka menaiki motor besar milik saya, saya sempat menghantarnya balik ke madrasah. Itulah kali terakhir saya bertemunya sebelum dia berhenti dua minggu sebelum kematiannya.
“Akim nampak seronok menaiki motor besar itu. Mungkin sudah lama tidak menaikinya sejak masuk ke madrasah. Satu lagi dia memang suka pomen-pomenkan basikal miliknya. Ada saja yang ingin dibaikinya. Dia juga bukanlah seorang anak lelaki yang agresif, agak lembik sebenarnya. Kalau orang buat-buat kecoh di sekelilingnya, dia akan menjauhkan diri. Bukan itu saja, kalau sebut tentang bola, Akim memang menyukainya. Satu lagi Akim seorang anak yang happy dan sentiasa gembira dengan apa dilakukannya,” katanya yang tidak mahu tragedi menimpa anaknya itu melemahkan daya pemikiran umat Islam kerana ada pelbagai versi ditularkan dengan pelbagai komen negatif dan positif.
Akim Sudah Dibawa Lebih Awal
Pada hari kematiannya, 26 hb April itu, ternyata ia menyamai tanda-tanda 100 hari kematian setiap yang bernyawa.
“Perancangan Allah jauh lebih baik untuk saya dan semua ahli keluarga. Pada hari kami membawanya daftar di madrasah itu, perancangan Allah itu adalah benar. Allah membawanya ‘pergi awal’ dari pandangan kami. Menghantarnya ke sekolah, memberinya peluang menghafal kalam Allah. Sehinggalah kami memberhentikannya beberapa minggu sebelum kematiannya terjadi.
Mungkin kalau Akim sentiasa ada di depan mata saya dan isteri, kami mungkin sukar menerima berita kematian ini kerana kejadian berlaku sekelip mata. Allah mendidik hati kami untuk redha dengan sebuah kehilangan,” katanya dalam keadaan tenang.
Masa yang sama, Mohd Gadaffi berkata, dia meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan segala keputusan di tangan pihak yang berkuasa.
Kata bapa yang juga bekas pemain bola sepak suatu ketika dahulu, dia begitu bersyukur kerana kematian anaknya begitu dimuliakan oleh seluruh dunia.
“Memang ramai yang melahirkan rasa terkejut. Semua pihak mendoakan anak syurga saya ini. Masa yang sama, saya meminta agar tidak ada pihak memberikan komen-komen negatif dan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan hal ini.
“Saya tidak mahu umat Islam dipandang rendah. Kita semua adalah hamba Allah. Saya menghantar anak saya ke madrasah tahfiz kerana menurut permintaannya. Ada yang memberi pandangan kenapa kecil-kecil menghantar anak ke sini sedangkan mereka masih kecil. Logik ke saya sebagai ibu bapa seperti menghantar sebuah kematian kepada orang lain?
Sebagai orang beriman, kita kena percaya qada dan qadarnya. Jangan ditambah atau dimarakkan dengan sebuah pandangan kosong. Kami mungkin sudah bertenang tetapi komen-komen di facebook dan sebagainya mungkin boleh membuat hati kami kembali bersedih.
“Tidak ada salahnya dengan pengajian di sekolah tahfiz. Tak ada juga salahnya pada ustaz dan ustazah yang mengajar anak-anak kita. Kejadian ini mungkin satu kejadian yang membuka mata banyak pihak supaya adanya pengemaskinian peraturan-peraturan di sekolah-sekolah tahfiz sedia ada. Sebab itulah saya katakan, kami tidak pernah bercadang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap madrasah tahfiz tempat anak saya belajar.
“Seperti kes Akim dirotan di tapak kakinya. Saya bukan tahu sehinggalah doktor bertanyakan soalan kepada dirinya bagaimana peristiwa ini berlaku. Kata Akim, dia dirotan di tapak kaki oleh pembantu warden. Termasuk juga rakan-rakannya yang lain. Namun hati saya cukup sebak membaca catatan ditulisnya. Meminta dia dibawa keluar kerana masalah berlaku.
Perancangan Allah itu adalah sebaiknya. Allah yang mengatur setiap perincian kehidupannya. Kita pun dipinjamkan sementara dan perpisahan pasti berlaku jua. Saya redha dengan segala yang terjadi. Insya-Allah kejadian ini juga menguatkan ukhuwah kita sebagai umat Islam untuk bersatu dalam apa juga ujian dan dugaan yang berlaku,” katanya mengakhiri perbualan.
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2oXbTrL
via
IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2qhreaq
via
MerahHatiCintaku.blogspot.com