Hasrat Nurul Farhana Ahmad, 25, untuk pulang ke tanah air tercapai, selepas beliau dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lelaki warga Indonesia lebih setahun lalu.
Nurul berjaya dibawa pulang hasil usaha Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Zohdi dengan bantuan konsulat dan pihak berkuasa Malaysia.
Menurut Budiman, Farhana membuat keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga kerana tidak tahan hidup sebatang kara di Medan, Indonesia selepas ditinggalkan bersama anak lelaki hasil perkahwinannya dengan lelaki itu yang berusia 1 tahun 3 bulan.
“Suaminya telah menghilangkan diri. Kehidupan dia sangat teruk. Dia tinggal bersama anak dan saudara suaminya di kampung yang daif dan serba kekurangan di Batu Bara,” katanya kepada pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 hari ini.
“Kami dapat berhubung dengan ketua kampung di sana dan berjaya membawa beliau pulang. Malah, kita berjaya mengurus halangan imigresen terhadap anak Nurul Farhana.
“Tiada halangan yang serius. Dalam masa 2 minggu kita berjaya menguruskan kedua-dua mereka untuk pulang berkat bantuan pegawai kedutaan Malaysia.”
Nurul menghilangkan diri selama lebih setahun dan dikesan berada di Medan sejak 1 bulan lalu.
Pada 13 Oktober lepas, Budiman bersama keluarga Nurul membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa membantu mengesan Nurul dan membawa pulang gadis itu.
“Saya boleh katakan ini melibatkan konflik keluarga, yang menyebabkan dia ke Medan. Mungkin dia fikir ada sinar untuk dia di sana tapi apabila dia berada disana, perkara itu berlaku sebaliknya.”
Ibu Nurul, Normah Yusof, 51, ketika ditemui pemberita berkata pihak keluarga bertungkus lumus mencari Nurul sehinggalah gadis itu menghubungi mereka sebulan lalu.
“Saya rasa amat gembira bila dapat tahu anak saya nak balik Malaysia. Tidak boleh nak gambarkan rasa gembira saya dan keluarga,” katanya sambil menitiskan air mata.
“Nurul telefon saya, beritahu dia nak pulang. Saya beritahu ‘bagaimana mak nak tolong, mak pun tak ada duit’. Makcik cuba mohon pertolongan Budiman,” katanya.
Sementara itu, Nurul Farhana ingin melupakan “sejarah hitam” di Indonesia dan membina kehidupan baharu bersama keluarganya.
“Saya mahu bina kehidupan baru bersama keluarga di sini dan melupakan sejarah hitam yang berlaku kepada saya sebelum ini,” Katanya.
Sumber: Eberita
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2irs9D4
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2xdmEKM
via MerahHatiCintaku.blogspot.com