Assalaumualaikum dan salam sejahtera.
Malaysia #QuranHour 1439H diadakan serentak di seluruh tanah air dan di luar negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 61. Terdapat sebanyak 1,393 lokasi di dalam negara, manakala 18 lokasi dari 16 negara luar berdaftar untuk menganjurkan #QuranHour.
Aktiviti berinteraksi dengan Al Quran melalui baca, faham dan amal ini julung kalinya diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Ogos 2018 yang lalu bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang.
Malaysia #QuranHour kali keempat in bertemakan “9 Budaya Membina Tamadun” yang diambil daripada surah An Naml. Surah tersebut menjadi kesinambungan penghayatan surah Al Hujurat bagi World #QuranHour pada 7 Jun yang lalu, iaitu dari sebuah pemupukan sahsiah diri dan etika sosial.
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan. (An-Naml 27:14)
Sesi tadabbur Surah An-Naml memfokuskan pembinaan tamadun Malaysia melalui pembentukan kerangka fikir dan tindakan golongan pemimpin dan masyarakat berbilang kaum. Kesemua ini harus berpandukan Al Quran selaras dengan prinsip Rukun Negara dan #SayangiMalaysiaku .
Ayat 15 hingga 44 dalam surah An-Naml mengetengahkan kaedah membangun tamadun dalam membina sistem pentadbiran sesebuah negara, komuniti, organisasi dan negara. Melalui sesi tadabbur surah tersebut diharapkan golongan ibu bapa dan pemimpin di pelbagai peringkat lebih serius membina negara berasaskan budaya tamadun yang tinggi.
Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya). (An-Naml 27:52)
Sebagai orang Islam, perlu menjadikan Al Quran sebagai panduan dan mempunyai budaya unggul dari segi amalan berbanding komuniti lain. Dengan menerapkan nilai-nilai mulia Al Quran, merdeka yang dimaksudkn adalah membebaskan penghambaan daripada manusia kepada Allah SWT.
Antara intipati lain dalam surah An-Naml adalah mempertingkatkan ilmu pengetahuan, pembentukan generasi pelapis, mengoptimumkan potensiri diri dan sumber, tadbir urus yang baik, latihan dan syukur sebagai motivasi, disiplin dan ketegasan, mempunyai visi dan misi, tepat dalam membuat keputusan, dan bermesyuarat untuk menegakkan kebenaran.
Acara Malaysia #QuranHour 1439H dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah oleh Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, dan surah Al Baqarah ayat 1 hingga 5 oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik.
Ia diikuti Solidariti Quran untuk memberi peluang setiap orang untuk membaca Al-Quran dalam bentuk halaqah selama 5 minit. Sesi berinteraksi dengan Al Quran melalui tadabbur dan tazakkur daripada surah An-Naml merupakan kemuncak aktiviti Malaysia #QuranHour untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia bagi mengukuhkan negara dengan nilai-nilai murni daripada Al Quran.
Bacaan surah An-Naml diperdenganrkan oleh pembaca panji surah An-Naml dengan diselangselikan sesi tadabbur. Pembawa panji surah An-Naml ialah Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Abdul Karim AlMakki, Tahfiz Muda Haris, dan ketua Pegawai Al-Ammar Resources Sdn Bhd, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)
Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci
Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab.
Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.
(Surah AN-Naml ; 54-58)
Pentadabbur surah An-Naml adalah Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Badli Shah Alaudin; dan Pengerusi Persatuan Insitusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS), PU Hafiz Haneefa. Program Malaysia #QuranHour diakhiri dengan bacaan ikrar dan doa.
Malaysia #QuranHour 1439H dinaungi oleh JAKIM dan dianjurkan oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Rumah Ngaji, Majlis Dakwah Negara, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Berhad.
Tamadun akan hancur kerana tidak endah peringatan
Tamadun akan musnah bila abaikan peringatan
Tamadun hancur apabila dipenuhi keji.
Firaun, Kaum Tsamud, dan kaum Lut dimusnahkan.
Ingatan buat kita semua agar tidak lupa dan leka di akhir zaman. Jadikan Al Quran dan Sunnah sebagai pegangan. Selamatkan keluarga kita daripada fitnah akhir zaman al Masih ad Dajjal.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2Ptql7D
via Denaihati.com