Thursday 2 March 2017

Suspek Kes Pembunuhan Kim Jong-nam..Ri Jong-chol Akan Diusir Balik Ke Korea Utara


KUALA LUMPUR: Suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam, Ri Jong-chol, warga Korea Utara yang ditahan di sini, 17 Februari lalu, akan diusir pulang ke negara asalnya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata Jong-chol yang juga seorang pakar kimia akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen esok untuk tindakan pengusiran.

"Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengarahkan supaya suspek dihantar pulang ke negara asalnya selepas tiada bukti kukuh dalam kertas siasatan yang diterimanya.

"Justeru, dia didapati tidak terbabit secara langsung dalam kes ini (pembunuhan Jong-nam) dan mengambil keputusan untuk mengusirnya," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Noor Rashid berkata, setakat ini polis sedang berurusan dengan Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya bagi proses penghantaran pulang Jong-chol.

Jong-chol yang menetap di negara ini bersama isteri dan dua anaknya sejak tiga tahun lalu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama di sini pada jam 9.50 malam 17 Februari lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam.

Reman dua minggu terhadap Jong-chol akan berakhir esok.

Mengulas mengenai urusan tuntutan mayat Jong-nam, Noor Rashid berkata, pihaknya masih menunggu kedatangan waris mangsa ke negara ini, namun enggan mengulas lanjut mengenai tarikh sebenar kedatangan mereka.

Sumber: Berita Harian Online


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2mI719c
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2mIlm5o
via MerahHatiCintaku.blogspot.com