Saturday, 24 June 2017

Jangan Jadikan Hari Raya Sebagai 'Tiket' Untuk Makan Sesuka Hati..


KUALA LUMPUR - Kemeriahan Hari Raya dengan pelbagai hidangan makanan bagaikan satu kemestian bagi majoriti umat Islam di negara ini.

Juadah seperti lemang, rendang, ketupat, lontong, kuah kacang dan beraneka jenis kuih yang lazimnya hanya dinikmati ketika Hari Raya, seringkali menjadi tumpuan dan pilihan utama untuk menjamu selera.

Pendek kata, Hari Rayalah peluang untuk menikmati apa sahaja makanan lebih-lebih lagi apabila bertandang ke rumah saudara-mara yang menyajikan pelbagai jenis juadah.

Ketibaan Syawal setahun sekali juga seringkali dijadikan alasan untuk kebanyakan masyarakat 'makan sesuka hati', sehingga adakalanya mengabaikan kesihatan dan memudaratkan diri.

Bukan tiket abai diet sihat

Pensyarah Fakulti Sains Dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis berkata meskipun Hari Raya disambut meriah dengan pelbagai juadah, ia bukanlah 'tiket' untuk mengabaikan amalan pemakanan sihat.

"Tidak boleh tidak, menjadi tradisi untuk menghidangkan aneka juadah pada Hari Raya. Namun begitu, kita perlu bijak memilih dan sentiasa mengamalkan pemakanan sihat pada setiap masa demi menjaga kesihatan diri.

"Pengambilan makanan secara tidak terkawal boleh meningkatkan berat badan secara mendadak bahkan menyumbang kepada risiko penyakit kronik. Justeru, amalan pengambilan diet dan makanan sihat perlu dititikberatkan kerana ia akan membantu mengekalkan tahap kesihatan yang baik," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk pengambilan makanan mengikut saiz hidangan atau dalam kuantiti yang kecil dan memilih makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan serta makanan yang kurang minyak, lemak dan santan.

"Masyarakat juga perlu memilih makanan yang tinggi serat bagi mengelakkan sembelit, menghadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol serta makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek.

"Selain itu buah-buahan perlu dijadikan sebagai pencuci mulut dan memperbanyakkan minum air kosong berbanding minuman berperisa karbonat atau minuman lain yang manis kerana ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan," jelasnya.

Peranan tuan rumah

Ahmad Faizal turut berkata Hari Raya juga adalah 'ujian' kepada mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi kerana perlu berdepan dengan cabaran menu makanan yang pelbagai.

Golongan itu, kata beliau perlu berdisiplin dan mengawal diri demi kesihatan mereka.

Menurut beliau, sikap segelintir golongan itu yang bersikap acuh tidak acuh bahkan 'melanggar pantang' akan memakan diri sendiri kerana berkemungkinan berdepan masalah kesihatan yang lebih buruk.

"Golongan ini perlu berhati-hati dalam memilih makanan. Sebagai contoh, mereka yang menghidap kencing manis atau darah tinggi wajib mengawal pengambilan gula dan makanan berlemak serta tinggi kandungan garam," katanya.

Berkongsi bahawa tuan rumah juga perlu memainkan peranan dalam memastikan juadah yang dihidangkan kepada tetamu berada dalam lingkungan menu sihat, Ahmad Faizal turut mencadangkan beberapa perkara termasuk menyediakan air kosong kepada tetamu setiap kali waktu makan.

Beliau pada masa sama berkata makanan juga perlu dihidangkan dalam saiz yang kecil dengan menggunakan pinggan dan mangkuk yang lebih kecil, serta mengasingkan gula apabila menghidangkan minuman seperti kopi atau teh.

"Selain menu sayuran seperti salad bersama hidangan utama ketika makan, tuan rumah juga boleh menghidangkan buah-buahan sebagai pencuci mulut.

"Hidangan seperti jeruk, asam dan gula-gula perlu dielakkan kepada tetamu," katanya sambil menambah pilihan makanan seperti sup adalah lebih baik berbanding yang bersantan kerana ia mengandungi lemak dan kolesterol yang tinggi.

Elak makan berlebihan

Ditanya mengenai sebarang tips bagi mengelak masyarakat makan berlebihan ketika meraikan lebaran, beliau berkata menghimpunkan lima kumpulan makanan dalam menu diet seharian adalah antara yang perlu dilakukan.

Lima kumpulan makanan itu terdiri daripada karbohidrat, protin, lemak, vitamin dan mineral.

"Sekali lagi, buah-buahan dan sayur-sayuran penting dan tidak boleh diabaikan. Menghadkan pengambilan kalori sebanyak 500 kalori sahaja untuk setiap waktu makan utama dan lima gram atau satu sudu teh gula sahaja untuk minuman manis serta bersenam tiga hingga lima kali seminggu juga perlu diamalkan.

Ahmad Faizal pada masa sama turut berkongsi saranan pengambilan kalori yang sesuai untuk peringkat umur termasuk lelaki dan wanita dewasa berdasarkan Panduan Diet Malaysia, 2010.

Menurut beliau, berdasarkan saranan itu, kalori yang sesuai bagi golongan dewasa yang berumur 18 hingga 59 tahun yang mengamalkan cara hidup sedentari adalah 2000 kalori sehari bagi lelaki dan 1500 kalori sehari bagi wanita.- BERNAMA


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2sP2oh8
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2rPvons
via MerahHatiCintaku.blogspot.com