JELI - Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri membuktikan ekonomi negara masih pesat berkembang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tradisi rumah terbuka sempena Syawal ini merupakan ciptaan Malaysia dan tidak ada di negara lain.
"Yang di-Pertuan Agung ke-15, Sultan Muhammad V; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; syarikat korporat dan orang perseorangan mengadakan rumah terbuka. Jika ekonomi negara nak bankrap, kita tak akan mampu adakan rumah terbuka.
"Selain itu ia juga lambang kesederhanaan rakyat dan bagaimana konsep wasatiyah diamalkan. Persengketaan politik dilupakan, dan ia budaya perpaduan yang cukup hebat," katanya kepada media mengulas mengenai majlis rumah terbuka yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, jika budaya perpaduan ini diamalkan sepanjang tahun Malaysia akan menjadi negara yang berjaya dan bersatu padu.
"Perpaduan yang kita saksikan pada 1 syawal dan sepanjang bulan ini harus dikekalkan sepanjang tahun,dan jika ia dapat dilakukan sudah pasti Malaysia akan jadi negara yang selamat," katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, di Kelantan terdapat pelbagai fahaman politik dan semuanya saling bermaafan sempena Syawal.
Sebahagian tetamu yang menghadiri rumah terbuka Mustapa di sini, hari ini.
"Saya harap semangat keterbukaan, kesederhanaan dan silaturahim ini dapat kita kekalkan sepanjang tahun. Walaupun mungkin sukar untuk dikekalkan namun kita harus cuba.
"Sebagai ahli politik kita tunjukkan kepimpinan melalui tauladan yang baik kerana politik ini berkait dengan nilai-nilai murni yang bukan sahaja tentang wang ringgit serta bantuan dalam bentuk kebendaan, tapi lebih besar dari itu," katanya.
Sementara itu, kira-kira 10,000 rakyat negeri ini termasuk perantau memeriahkan rumah terbuka Mustapa yang diadakan setiap tahun di Darul Falah. - Sinar Harian
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2sfxqSm
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2rZNMdF
via MerahHatiCintaku.blogspot.com