Friday, 3 April 2020

Covid-19 : Satu Musibah Atau Ujian?

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Timbul satu persoalan yang mencetuskan percanggahan pandangan dalam kalangan masyarakat mengenai status wabak yang melanda negara kita pada masa kini.

Adakah ia satu ujian atau musibah bagi rakyat dan negara ini? Sehingga timbul pertanyaan ada pihak yang mendakwa sekiranya sesuatu perkara buruk itu melanda umat Islam, ia dikatakan satu bentuk ujian.

Manakala jika sesuatu kejadian buruk itu melanda atau berpunca daripada orang bukan Islam, maka ia dikatakan satu musibah.

Baca : Redha Dengan Ujian Yang Menimpa, Allah Cuci Dosa Kita

Percanggahan pendapat atau cakap-cakap sebegini sebenarnya berpunca daripada salah faham sesetengah pihak dalam menggunakan perkataan terbabit.

Perkataan ‘ujian’ dilihat membawa konotasi makna positif sedangkan ‘musibah’ membawa makna yang negatif.

Jika dirujuk dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ujian difahami sebagai sesuatu yang dialami untuk menguji atau disebut dugaan. Perkataan musibah pula ditakrifkan sebagai bencana, celaka dan malapetaka.

Maka daripada pemahaman makna dua perkataan ini daripada kamus, sememangnya tidak salahlah jika berlaku percanggahan pandangan dalam kalangan masyarakat.

Mereka memahami ujian dengan makna positif dan musibah dengan makna negatif.

Sebagai umat Islam, perlu difahami musibah bukanlah membawa konotasi makna yang buruk secara menyeluruh. Sebaliknya musibah itu juga adalah satu bentuk ujian untuk manusia kembali menginsafi kewujudan Allah SWT.

Baca : Allah Turunkan Ujian Dalam Pelbagai Bentuk Dan Waktu Yang Berbeza

Allah SWT mengajarkan hamba-Nya tatacara menangani musibah seperti mana dinyatakan dalam al-Quran bermaksud:

(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Surah al-Baqarah: ayat 156)

Dalam ayat al-Quran itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘musibah’ bagi menggambarkan ia boleh jadi ditimpakan kepada orang beriman, namun perkara yang lebih penting ialah untuk mereka kembali mengingati Allah SWT.

Ummu Salamah berkata, beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang menganjurkan doa bagi mereka yang ditimpa musibah. Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘musibah’ dalam doa itu yang mafhumnya:

Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.”

(Hadis riwayat Muslim)

Percayalah setiap yang berlaku dengan keperluan untuk bersabar, reda dan mencari langkah terbaik untuk menyelesaikannya adalah perkara dituntut Islam. Usah bercakaran hanya pada perkataan sedangkan hati masih jauh daripada mengingati Allah SWT yang berkuasa memberi jalan keluar.

Baca : Allah Turunkan Ujian Tanda Allah Sayang

Umat Islam yang memahami hakikat ujian mahupun musibah, pasti akan sedar mengenai kewujudan Allah SWT yang mendatangkan sesuatu dengan iringan 1,001 hikmah.

Bagi-Nya kekuasaan untuk mengangkat segala bentuk ujian mahupun musibah. Namun persoalannya, adakah manusia memilih untuk bersaksi akan keesaan dan kebesaran Allah SWT?

Wallahu’alam.

Baca : Mencegah COVID-19 Merupakan Fardhu Ain

kredit : Hmetro



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3dV49AG
via Denaihati.com