Sunday, 26 April 2020

Apa Bantuan Untuk Anak Muda 18-20 Tahun Yang Hilang Pendapatan


APABILA kerajaan umum Bantuan Prihatin Nasional pada 27 Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM250 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut tiada yang tertinggal.

Bermakna, tiada golongan rakyat yang akan tercicir daripada menikmati bantuan.

Tetapi kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris,  terdapat satu golongan yang sebenarnya tercicir, iaitu golongan anak muda berusia 18-20 tahun yang bukan berstatus pelajar.

Katanya, mereka itu selepas habis sekolah, terus bekerja. Ada yang ambil sijil kemahiran setahun dua, kemudian terus bekerja. Ada yang berhijrah dari kampung ke kota raya. Ada yang menyeberang dari Borneo ke Semenanjung.

“Sebahagian besar mereka merupakan keluarga susah. Malahan, dalam usia muda sebegini mereka sudah menyara keluarga di kampung. Jangan lupa, ada juga yang sudah berumah tangga.

“Pada waktu begini anak muda 18-20 tahun juga antara yang terkesan teruk pada waktu ini dan mereka sedang bergelut untuk hidup.


“Ada di antara mereka yang telah hilang pendapatan, diberhentikan kerja, ada yang menerima separuh gaji dan ada yang terpaksa bergelut dalam menyara anak isteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya melalui pakej Prihatin, kerajaan mensyaratkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hanya untuk yang bujang mahupun isi rumah mesti berusia 21 tahun ke atas.

“Kerajaan tidak boleh pukul rata menggunakan kriteria 18-20 tahun adalah di bawah tanggungan ibu bapa. Pada 11 April 2020, BPN berjumlah RM200 untuk pelajar diperluas kepada pelajar Tingkatan Enam.

“Golongan pelajar adalah mereka yang jelas sebahagian besarnya masih di bawah tanggungan ibu bapa.

“Namun, golongan tercicir yang saya sebutkan seperti di atas, bagaimana?

“Jika kriteria ‘masih di bawah tanggungan ibu bapa’ digunakan untuk mereka, maka kerajaan tidak peka dengan kesulitan orang muda dan telah gagal memastikan setiap rakyat yang sepatutnya mendapat bantuan,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengetepikan bantuan kepada mereka yang bukan dalam kategori pelajar kerana ada yang lebih teruk daripada pelajar IPT.

“Ini realiti sebenar dan kerajaan mesti sedar pekara ini dan turun ke bawah melihat sendiri kesan yang orang muda terpaksa pikul.

“Saya menggesa agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janji yang dibuat “No one will be left behind” dengan memastikan orang muda 18-20 tahun diberikan bantuan kewangan dengan secepat mungkin.

“Kerajaan diminta jangan berlengah kerana kemeseletan ekonomi hari ini akibat Covid-19 telah menjejaskan semua lapisan masyarakat termasuk semua orang muda,” katanya.

Sumber: https://ift.tt/2tbEBw2


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Sa2vBX
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Yan0lA
via MerahHatiCintaku.blogspot.com