Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Alhamdulillah, para pelajar IPTA dan IPTS dapat pulang ke rumah masing-masing setelah beberapa minggu menjalankan PKP di universiti dan kolej masing-masing. Dapat juga mereka menyambut bulan Ramadhan bersama keluarga tercinta.
Mulai malam ini, Seramai 1,128 pelajar Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam esok (Selasa, 28 April).
“Proses penghantaran pulang akan melibatkan sembilan universiti yang terlibat dan 49 buah bas ke 17 destinasi.
“Apabila bas dari zon tengah sampai di zon utara, bas yang sama juga akan membawa pulang pelajar dari zon utara pulang ke zon tengah,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian pada Isnin.
Beliau berkata, setibanya pelajar di lokasi ‘drop-off point’ iaitu balai polis dan juga pejabat daerah, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut.
Bagi pelajar yang tiada kenderaan, katanya, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar ke rumah masing-masing.
“Kami ambil maklum bahawa terdapat pelajar yang tidak mempunyai kenderaan.
“Jadi, petugas barisan hadapan di daerah tersebut akan menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Bas yang bertolak ke zon utara pada malam ini dijangka akan sampai pada pukul 9 pagi esok,” katanya.
Tambahnya, bas-bas yang terlibat dalam penghantaran pulang pelajar akan disanitasi 3 jam sebelum bertolak ke destinasi.
Tidak ketinggalan, bagasi-bagasi yang dibawa pelajar yang terbabit juga akan disanitasi.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Syarikat Marrybrown dan Gardenia kerana memberi tajaan makanan untuk bersahur bagi pelajar yang akan dihantar pulang malam ini dan Selasa.
Sumber: Awani
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2KEKpDI
via Denaihati.com