Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia di mana Allah SWT melipat gandakan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan, hatta amalan sunat pun pahalanya digandakan.
Baca: 7 menu lazat buat rohani sepanjang bulan Ramadhan
Dengan kesempatan yang diberikan, umat Islam harus rebut peluang ini dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, Selawat kepada Baginda SAW, dirikan solat malam dan lain-lain lagi.
Di Samping membuat amalan di atas, solat sunat tarawih juga merupakan solat sunat yang boleh menambahkan pahala di bulan yang mulia ini.
Satu-satunya solat sunat yang wujud pada bulan Ramadhan sahaja ialah solat Tarawih. Tarawih bermaksud ‘rehat’. Ini kerana kita akan berehat seketika selepas setiap empat rakaat.
Apabila disebut sebagai solat sunat, ada yang meringankan usaha melakukannya. Maka, malam Ramadhan tidak dihidupkan. Selepas berbuka puasa sekenyang-kenyangnya, tidak larat pula hendak mengerjakan solat tarawih.
Sebenarnya ada dalil yang mensyariatkan solat tarawih iaitu;
“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala maka diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari)
Baca: Bulan Ramadhan Yang Dinanti
Solat tarawih hukumnya sunat muakkad iaitu ibadah yang amat dituntut oleh Islam. Galakan menunaikan solat tarawih diceritakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa (maksud):
“Rasulullah s.a.w menggalakkan qiam pada malam Ramadhan tetapi tidak mewajbkannya ke atas kami”
Sabda Baginda “Sesiapa yang berpuasa dan berqiamullail dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, dia diampunkan segala dosa yang terdahulu.” (HR Muslim)
Merujuk kepada hadis di atas, solat sunat tarawih amat digalakkan sebagai langkah menghidupkan malam Ramadhan walaupun ia tidak diwajibkan.
Dari hadis ini juga menunjukkan bahawa mereka yang menghidupkan Ramadhan akan diampunkan dosanya. Diampunkan dosa tentulah ganjaran terbesar bagi umat Islam. Sesiapa pun mahu dosa mereka diampunkan oleh Allah s.w.t.
Apa yang penting ialah niat kita mesti ikhlas melakukannya kerana Allah dengan sepenuh pengharapan. Keikhlasan ini jugalah yang akan membentuk jiwa dan memelihara diri kita daripada perbuatan-perbuatan yang berdosa.
Semoga Allah SWT pelihara kita semua di bulan Ramadhan ini dan terima amalan kebaikan yang kita lakukan. Mohon pada Allah, semoga kita dikurniakan rezeki untuk beribadat pada malam al-Qadr yang mana malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan.
Semoga bermanfaat pada semua.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2ySC3G2
via Denaihati.com