Wednesday, 25 December 2019

70 peratus warga Malaysia tidak bersedia hadapi cabaran hari tua

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Lebih 70 peratus warga emas di negara ini tiada persiapan untuk menghadapi hari tua. Perkara itu didedahkan menerusi satu kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Kaji selidik itu membabitkan 5,595 responden berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Antara soalan yang ditanya, pernahkah mereka merancang untuk hari tua? Responden paling ramai menjawab ‘ya’ adalah mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun, iaitu kira-kira 820 orang.

Ia diikuti golongan responden berusia antara 26 hingga 39 tahun. Manakala responden paling ramai yang menjawab ‘tidak’ adalah golongan berumur 18 hingga 25 tahun.

Gambar hiasan

Antara jawapan kepada mengapa mereka tidak berbuat demikian adalah 25.01 peratus responden menjawab bahawa mereka tidak pernah memikirkan tentang perkara tersebut. Sementara, 21.08 peratus berpendapat terlalu awal untuk memikirkan tentang persiapan hari tua.

Menariknya, 12.99 peratus responden menjawab mereka ‘hanya menyerah kepada takdir’ dan 7.18 peratus mengharapkan kepada anak-anak mereka pada usia persaraan nanti

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia UPM, Prof. Dr. Tengku Aizan Hamid, menekankan kepentingan melakukan persiapan pada usia muda sebelum terlambat. “Rakyat Malaysia ini bukan futuristik dalam pemikiran mereka. Apabila sudah mendekati usia persaraan baru hendak merancang untuk hari tua.

Ini kerana mereka menjalankan kehidupan seharian begitu sahaja tetapi kalau kita melihat dalam perancangan hidup awal-awal lagi kita perlu ada pendidikan sebagai persediaan untuk bekerja, jadi untuk hari tua juga kita kena persediaan sebegitu.”

“Zaman sekarang bukan macam dahulu. Dulu tidak banyak cabaran sekarang zaman berubah dan kehidupan juga semakin mahal jadi kita memang perlu sediakan simpanan berapa yang kita perlukan untuk hari tua,”

Berdasarkan unjuran yang dibuat Jabatan Perangkaan, negara dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2035 apabila 15 peratus penduduk merupakan warga emas. Sebelum ini, Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan bahawa jumlah penduduk tua di Malaysia dijangka bertambah dengan menunjukkan purata usia penduduk meningkat.

Bayi yang lahir pada 2015 dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 77.4 tahun bagi perempuan manakala 72.5 tahun bagi lelaki. Sehubungan itu rakyat Malaysia digesa bersiap sedia dengan menambah simpanan persaraan mereka



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/34SkBvv
via Denaihati.com