KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil memohon maaf kepada keluarga dan pesakit kanser yang terpaksa hadir ke KWSP di Johor Bharu dalam keadaan terlantar atas katil bagi mengeluarkan wang caruman.
Pengalaman buruk dialami keluarga berkenaan tular di media sosial selepas adik kepada pesakit kanser itu memuat naik kisah tersebut di laman Facebook semalam.
"KWSP ambil maklum mengenai berita yang sedang tular berkaitan pengalaman perkhidmatan dari salah seorang ahli KWSP di Johor Bahru.
"KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya.
"Pihak KWSP telah menghubungi dan berjumpa dengan ahli tersebut dan keluarganya untuk memahami situasi ini dengan lebih lanjut," kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Meja Media KWSP itu turut memaklumkan bahawa langkah diambil pihaknya bukan sahaja bertujuan membantu kes ahli tersebut, malah akan menggunakan pengalaman terbabit dalam memperbaiki proses sedia ada.
Menurutnya, ia supaya KWSP dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin kepada ahli.
"Sekali lagi, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku.
"Di sini juga ingin kami menegaskan bahawa pihak KWSP sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan," katanya.
Berdasarkan status akaun Facebook Nur Sheila Abdullah, kakaknya berusia 56 tahun yang hilang upaya dan terlantar di atas katil dibawa ke KWSP berkenaan menggunakan ambulans.
Pesakit kanser itu mahu mengeluarkan caruman dalam akaun pertama yang mempunyai baki tabungan kurang RM10,000 bagi menampung kos rawatan.
"Kami meminta jasa baik pihak pegawai KWSP membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cop jari secara manual dan pengesahan diri pencarum.
"Beliau (pegawai) kata tidak boleh. Pencarum mesti hadirkan diri di pejabat. Tak kisahlah nak datang naik ambulans dan menggunakan stretcher pun boleh.
"Pegawai perubatan menolak stretcher masuk ke kaunter. Allahuakbar... sedih tengok kakak saya yang memang sudah tidak ada daya upaya mengangkat tangannya itu, terus menjadi tontonan orang ramai," katanya.
Nur Sheila berkata, pendedahan kisah itu bukan berniat mencari kesalahan tetapi mahu perubahan sebagai kemudahan kepada pencarum di masa akan datang.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2SdjQux
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2sbaKDU
via MerahHatiCintaku.blogspot.com