Friday, 6 December 2019

"Berhenti Guna Nama Ustaz Untuk Memuliakan Diri!" - PU Amin Kecewa Tugas Dakwah Tercemar Kerana Kontroversi


PENDAKWAH bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin menggesa mana-mana individu yang menggunakan gelaran ustaz semata-mata untuk mengejar kesenangan hidup supaya kembali semula ke pangkal jalan.

Menurut PU Amin, 29, keterlanjuran perbuatan yang dilakukan pihak tertentu telah sedikit sebanyak mencemar imej dan gelaran dibawa mereka sehingga masyarakat hilang percaya dengan tugas pendakwah.

"Buat para pendakwah peliharalah diri dari kejahatan dan kesilapan, lihatlah apa yang berlaku kerana ketelanjuran satu dua orang manusia yang memakai topeng pendakwah akhirnya merosakkan nama dan tugas pendakwah itu sendiri.

"Jangan kerana kita yang tidak menjaga nama pendakwah atau ustaz itu maka boleh menyebabkan hilang kepercayaan masyarakat pada pendakwah dan ustaz-ustaz yang lain. Berhentilah dari menggunakan agama untuk kesenangan diri sendiri, berhentilah dari menggunakan nama ustaz untuk memuliakan diri, bertaubatlah dan kembalilah pada jalan agama yang sebenar wahai para pendakwah dan ustaz.

"Jangan kita rosakkan tugas pendakwah ini, fikirkan perasaan Nabi Muhammad dan para sahabat jika kita merosakkan kerja dakwah ini," katanya.


Perkongsian PU Amin di Instagram.


PU Amin menulis luahan dan pandangannya itu menerusi Instagram miliknya pada Jumaat.

Namun, dia tidak menyatakan secara khusus kepada siapa individu yang dimaksudkan.

Meskipun menerima pelbagai ujian dalam menyampaikan dakwah, PU Amin berkata dia akan tetap meneruskan kerjaya mulia itu.

Dia turut memanjatkan doa supaya diberikan kekuatan untuk terus berdakwah dalam usaha menegakkan syiar Islam.

"Ya Allah Ya Tuhanku! Dengan keberkatan hari Jumaat yang mulia ini kau berikanlah kekuatan pada diriku untuk terus berbakti dan berdakwah kepada masyarakat di dunia ini. Berikanlah taufiq, hidayah dan cahaya-Mu dalam meneruskan tanggungjawab dan amanah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW.

"Hati ini takut dan risau dengan apa yang berlaku pada pendakwah hari ini, pelbagai ujian dan halangan terpaksa dihadapi. Aku merayu dihadapan-Mu, peliharalah kami para pendakwah agar ikhlas dan jujur dalam menyampaikan risalah dakwah ini, jauhkan kami Ya Allah dari cintakan dunia dan dosa yang cenderung kepada hawa nafsu.

"Ya Allah, berikan kekuatan dalam diri ini untuk terus menyampaikan kebaikan dan ilmu kepada umat manusia, jauhkan diriku dari kesesatan dan kezaliman, lindung aku dari menjadi fitnah dalam kerja dakwah ini. Peliharalah kami, hari ini kerana nila setitik telah rosak susu sebelanga, muliakan usaha dan tugas dakwah bagi kami yang benar-benar mahu bekerja untuk-Mu Ya Allah!," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa nama pendakwah muda terpalit dengan isu rumah tangga antaranya PU Abu dan Da'i Farhan.

Kontroversi membabitkan dua ustaz selebriti ini menyebabkan beberapa netizen menyelar dan memberikan pandangan negatif terhadap kerjaya mereka sebagai pendakwah.

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media News https://ift.tt/33VkqPR
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/38bu6cf
via MerahHatiCintaku.blogspot.com