Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Di Malaysia, di Indonesia, Singapura dan Brunei, empat penjuru (negara) ini saya rasa berjutalah peminat-peminat saya, saya dah bawa mereka mungkin di antaranya ada yang terlalai (kerana lagu-lagu saya). Jadi saya ambil kesempatan ini, saya mohon maaflah daripada semua peminat dan juga saya minta ampun kepada Allah SWT.
Sebab sebenarnya pada waktu itu saya memang tak faham. Saya (hanya tahu) nak seronok, saya nyanyi saya dapat duit, memang seronok (waktu itu)….”, ujarnya.
Itulah pengakuan jujur berbaur penyesalan oleh Wan Syahman bin M. Yunus. Dulu beliau lebih dikenali sebagai Iwan Dangdut, kerana peranannya menjulang genre muzik itu. Kini beliau lebih senang dipanggil Iwan Syahman.
Sejak usia mudanya anak kelahiran Sumatera, Indonesia, pada tahun 1961 ini memang suka merantau. Hampir separuh dunia pernah dikunjunginya untuk menimba pengalaman hidup mengikut runtutan jiwa mudanya yang inginkan kehidupan bebas.
Bahkan, beliau pernah tinggal beberapa ketika di Jerman dan Jepun, sebelum datang ke Singapura pada 1980. Pada 1984 Iwan datang ke Malaysia, juga atas kegemaran merantau sambil mencari kehidupan.
Beliau memilih untuk menetap di Seremban. Katanya, secara kebetulan ramai sanak-saudara sebelah emaknya dari Sumatera tinggal di daerah itu.
“Masa tu saya masih muda, belum tahu nak jadi artis ke apa. Tapi di situlah mula berjinak-jinak dengan dunia muzik. Kebetulan saya memang suka bergaul dengan orang, bermain gitar dengan anak-anak muda sambil menyanyi, selalu datang rumah dia orang, makan malam, makan tengahari, ramai lah jadi mak angkat saya”, Iwan membelek kenangan silamnya.
Di situlah beliau mula terlibat secara lebih aktif dengan dunia muzik. Bermula sebagai penyanyi di pub dan kelab malam, beliau kemudiannya menubuhkan kumpulan muzik.
“Selepas dua tahun (di Seremban), pindah ke Kuala Lumpur. Kita main group band pulak, dan yang terakhir group saya tu “The Artstream”. Saya pemain gitar bass, timba pengalaman selama tiga tahun, sambil tu menyanyi juga. Kemudian dari situ saya belajar recording (rakaman). Selepas itu barulah saya pergi ke album, buat sendiri”, ujarnya.
Album pertamanya berjudul ‘Fantasia Musim Cinta’ terbit pada 1993 dan mendapat sambutan peminat. Iwan seterusnya menghasilkan tiga lagi album genre pop dan kesemuanya mendapat sambutan membanggakannya.
Bahkan, ada lagunya pernah menjuarai carta lagu popular sebilangan stesen radio negara ini, termasuk menerusi rancangan Pujaan 10 Nescafe. Dari genre pop, beliau kemudiannya beralih ke irama dangdut.
Baca : Hijrah 9 orang artis rock, kini giat buat kerja dakwah
Iwan dianggap mencapai zaman kemuncak popularitinya di situ, terutama menerusi lagu-lagu duetnya bersama beberapa penyanyi wanita, termasuk seorang artis dari India. Lagu-lagu irama dangdutnya menjadi kegemaran ramai hingga kini.
“Sebabnya dalam kemewahan itu, nampaknya (zahir) senang tapi yang sebenarnya perceraian demi perceraian berlaku ke atas kita, sebab kita tak faham agama, isteri kita pun tak faham agama. Kita tak dekat dengan Allah, maka dua kali bercerai.
Mula-mula (isteri pertama) orang Kelantan, 8 tahun (kahwin, dapat) anak tiga. Isteri kedua dari Terengganu, tak ada anak, cerai juga lepas 8 tahun,” Iwan memperincikan kegagalan rumahtangganya. “Selepas itulah Allah bagi satu fikir pada saya, saya fikir kenapa sebenarnya hidup saya ini macam ini? Bagi saya, tanda-tanda yang Allah bagi, menerusi ketakutan demi ketakutan yang kita alami, menyebabkan saya terfikir bahawasanya saya perlu berubah.
“Alhamdulillah lah, Allah Ta’ala ni, Dia sangat (dan) masih sayangkan saya. Sehingga kalau kita tengok bukti-buktinya, pada saya lah kan, tak ada lagi sebenarnya cubaan yang berat-berat. Tuah bagi saya, kalau menurut dari hidup saya ini yang sudah terlalu “jauh” (dari agama) ini kan, sepatutnya dah teruk dah (kena ujian Allah), tapi Dia masih beri saya sempurna lagi kan?”, ujar Iwan dalam nada amat positif terhadap rahmat Tuhannya.
Kini, beliau dengan sepenuh hati meyakini perjalanan hidupnya yang sebegitu sudah diaturkan oleh Allah untuknya. Apatah lagi selepas diberikan hidayah untuk berhijrah dan berubah, Allah menemukannya dengan sebuah jemaah dakwah.
Beliau akui, menerusi penglibatannya dalam jemaah tersebut beliau mendapat keyakinan dan petunjuk. “Alhamdulillah, bila saya masuk jemaah, Allah bagi petunjuk kepada saya, nampak keindahan dan keseronokan untuk beragama. Kita perlukan itu (hidup beragama) sebenarnya.
Sedangkan saya zaman remaja sibuk dengan khayalan-khayalan,” katanya. Komitmennya untuk berubah bertambah kukuh apabila merasakan Allah Ta’ala mentakdirkannya untuk berfikir menebus kesilapan silam.
Jika dulu Iwan banyak mengkhayal dan melalaikan orang, sekarang Allah memberinya satu pemikiran agar menyuci dan menebus kembali kesalahan itu.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2VXY2E8
via Denaihati.com