KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menggunakan kuasa eksekutif untuk menghapuskan bangkangan terhadap pemerintahanya, dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sewaktu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tindakan itu jelas menyalahi konsep pemisahan kuasa dalam demokrasi, iaitu pembuat undang-undang (legislatif), pelaksana kerja (eksekutif) dan institusi kehakiman (judiciary).
Menurut beliau, campur tangan antara satu kuasa dengan kuasa lain akan melahirkan perasaan kurang senang dan tekanan ke atas rakyat.
“Kita dapati anggota parti Bersatu Blackout disoal siasat tidak berhenti-henti. Rumah beberapa anggota parti pembangkang digeledah dan isi rumah disoal. Ada juga percubaan oleh anggota kerajaan untuk menghalang kehadiran ahli parti pembangkang daripada menghadiri perhimpunan tertentu.
“Ada juga ramai yang dimasuk dalam tahanan apabila dituduh dalam mahkamah tetapi ada orang tertentu dibebas bertahun-tahun kerana jaminan yang sedikit. Kerajaan sepatutnya bersikap adil terhadap semua pihak. Tidak ada tempat pilih kasih dalam melaksana undang-undang,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, beliau sedar kerajaan mempunyai kuasa tertentu, tetapi ia tidak bermaksud kuasa itu bebas daripada aturan peraturan.
Tegasnya lagi, jika kuasa disalah guna, ia akan dilihat sebagai jenayah salah guna kuasa dan tidak menghormati undang-undang sedia ada.
“Rakyat bebas memilih siapa yang mereka ingin sokong. Mengguna agihan duit kerajaan untuk penyokong dan menafikan hak sesiapa kerana tidak sokong adalah salah. Lebih salah lagi jika jentera kerajaan diguna untuk menekan pembangkang.
“Cara ini boleh memberi gambaran bahawa rakyat sokong kerajaan. Sebenarnya mereka tidak. Inilah yang berlaku pada PRU-14. Setelah mencurah wang sogokan yang banyak, rakyat tolak juga pihak berkenaan. Amalan ini hendaklah dihentikan,” katanya lagi.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2ZKES6Y
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3jjTD8J
via MerahHatiCintaku.blogspot.com