KOTA BHARU: Kerajaan akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan.
"Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri.
"Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya kes semakin meningkat," katanya.
"Kita berharap tindakan kita belum lagi terlewat dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok," katanya pada sidang media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini rentas negeri masih lagi dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.
Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP ditetapkan dan tidak mengharapkan pasukan keselamatan.
"Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP.
"Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan," katanya yang turut memaklumkan pintu sempadan negara masih ditutup.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/3hGL7ib
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WWDk8a
via MerahHatiCintaku.blogspot.com