Thursday, 4 March 2021

3 Keadaan yang disunatkan untuk sujud syukur

Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُم وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan  (ingatlah  juga),  tatkala  Tuhanmu  mengatakan;  “Sesungguhnya  jika  kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih”. 

(Surah Ibrahim: 7)

Ayat di atas menerangkan bahawa Allah akan menambahkan nikmat bagi seseorang mukmin sekiranya dia bersyukur dengan nikmat tersebut. Justeru, di antara cara untuk menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T ialah dengan melakukan sujud syukur. 

Sujud syukur ialah sujud yang dilakukan kerana memperoleh sesuatu nikmat atau terselamat daripada sesuatu bencana. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/208).

Para ulama’ menyenaraikan beberapa keadaan yang disunatkan untuk melakukan sujud syukur. Di antaranya ialah:

Pertama : Ketika mendapat sesuatu nikmat (هجوم نعمة)

Iaitu mendapat nikmat yang tidak disangka-sangka samada nikmat tersebut nikmat zahir (yang dapat dilihat dengan mata kasar) seperti mendapat anak atau kepulangan seseorang yang telah lama menghilang atau sembuh daripada sesuatu penyakit, ataupun nikmat batin (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) seperti memperoleh sesuatu ilmu atau kemuliaan dalam masyarakat.

Kedua: Ketika terselamat daripada bencana (اندفاع نقمة)

Iaitu terselamat daripada bencana zahir yang tidak disangka-sangka, seperti terselamat daripada runtuhan bangunan atau terselamat dari banjir besar atau dari suatu kemalangan atau malapetaka. (Rujuk: Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiah, hlm. 337).

Ketiga: Ketika melihat orang yang fasiq (رؤية فاسق)

Iaitu ketika melihat orang fasiq yang mempamerkan kefasiqannya atau orang kafir atau orang yang merompak di pertengahan jalan, maka disunatkan untuk melakukan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkannya daripada perkara tersebut. Hal ini kerana kefasiqan adalah suatu musibah di dalam agama sehingga Rasulullah S.A.W mengajarkan doa agar kita dijauhkan daripada musibah dalam urusan agama:

‎وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا، وَلَا تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا، وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah janganlah engkau jadikan musibah yang menimpa kami dalam urusan agama kami dan jangan pula engkau jadikan (harta dan kemewahan) dunia sebagai cita-cita kami yang paling besar dan tujuan utama dari ilmu yang kami miliki.

Riwayat al-Tarmizi (3502)

The post 3 Keadaan yang disunatkan untuk sujud syukur first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/389xp56
via Denaihati.com