Sedar tak sedar tinggal beberapa hari je lagi nak masuk bulan Ramadan yang mana kita semua tahu bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat mulia dan penuh dengan pelbagai ganjaran yang Allah berikan kepada hambanya.
Ramadan adalah bulan bagi seluruh umat Islam di mana jua mereka berada untuk melaksanakan kewajipan ibadah puasa; yang pastinya memerlukan kekuatan dari sudut fizikal, rohani mahupun jasmani dalam melakukannya.
Sehubungan itu, kita dianjurkan untuk membaca doa seperti berikut sebelum memasuki bulan Ramadan.
Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah ﷺ berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan” [Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)]
Berikut dikongsikan beberapa persiapan yang boleh kita lakukan bagi menghadapi bulan yang di dalamnya terkandung 1001 keistimewaan ini;
1) Perbaiki niat
Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”. (Al-Bayyinah:5)
Tanpa niat maka ianya tidak dikira sebagai ibadah boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat kita untuk mengahadapi Ramadhan ini hanya kerana Allah ﷻ. Jika jantung hati telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah ﷻ maka amal perbuatannya selepas itu akan menjurus kepadanya juga.
2) Mencari Guru Agama
Bagi mereka yang baru ingin mendekatkan diri dengan agama, inilah masa yang terbaik untuk dimanfaatkan.
Carilah guru agama yang benar dari sudut kefahaman agamanya, akidah, ibadah, akhlak dan lain-lain perkara yang berkait agar kita dapat meneladani cara hidup Islami yang sebenarnya.
3) Mendekatkan Diri Dengan Masjid Atau Surau
Jika sebelum ini kita terlalu sibuk dengan pekerjaan duniawi sehingga kadang-kadang, jarang-jarang bahkan tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah Allah (masjid atau surau).
Maka sebaiknya sebelum melangkah ke bulan Ramadhan ini kita mengambil sedikit masa sama ada setiap kali solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib mahupun Isyak untuk berjemaah bersama masyarakat di masjid atau surau berdekatan tempat kerja atau tempat tinggal kita.
Baca: Hidupkan malam Ramadhan dengan solat sunat Tarawih
4) Mencari Persekitaran Atau Lingkungan Yang Baik
Persekitaran juga turut memainkan peranan yang cukup penting bagi membentuk diri setiap individu. Ia seakan perumpaan bagi hati, jika hati baik maka baiklah seluruh anggotanya.
Namun, jika berlaku sebaliknya, maka sebaliknyalah yang akan berlaku. Jika persekitaran yang didiami itu terdiri daripada mereka yang tidak mengendahkan suruhan agama, dibimbangi kita yang lemah imannya ini juga akan terikut sama dengan mereka.
Baca: Bulan Ramadhan Yang Dinanti
5) Tidak Membazirkan Masa Dengan Aktiviti Yang Sia-sia
Jika sebelum ini kita sibuk dengan gadget, bermain game di siber cafe, melepak di tepi jalan atau warung kopi dari pagi hingga ke petang, sehinggakan ada yang mengabaikan ibadah solat fardu 5 waktu.
Maka menjelangnya Ramadhan ini cubalah untuk mengurangkan aktiviti sebegini dan ubahnya dengan aktiviti yang lebih bermanfaat seperti memperbanyakkan membaca al-Quran, mempelajari hukum tajwid, menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid, surau atau apa jua karnival yang menjayakannya.
Dan sebenarnya, masih banyak perkara yang boleh kita lakukan sebagai persiapan menghadapi ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini.
Justeru, bersamalah kita untuk menanamkan azam dan niat untuk memperbaiki diri, sama ada dari sudut akhlak, tingkah laku, ibadah, akidah, dan segala aspek kehidupan.
Mudah-mudahan, Ramadhan tahun ini menjadi kenangan indah dan saham akhirat buat kita dalam melaksanakan amal kepada Allah s.w.t, seterusnya beroleh keredhaan di sisi-Nya. InsyaAllah. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.
Sumber: Tzkrh
The post Persiapan sebelum menyambut Bulan Ramadan yang bakal tiba first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/2Ofl2ho
via Denaihati.com