BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki dipercayai anggota geng curi lembu dan kerbau berpura-pura memancing ikan di Sungai Kulim, di sini sebelum menyumpit kerbau milik penduduk yang ditambat di tepi sungai berkenaan di Kubang Semang, di sini hari ini.
Geng itu yang dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey untuk mencuri haiwan peliharaan penduduk.
Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Semang Saidin Yaakob berkata, sambil memancing, mereka menyumpit kerbau dipercayai dengan ubat pelali bagi melemahkan haiwan itu sebelum disumbat ke dalam MPV berkenaan untuk melarikannya.
Bagaimanapun, katanya gelagat empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dilihat seorang remaja yang kemudiannya memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum mereka cuba menahan geng berkenaan.
"Mereka yang bersenjatakan parang itu panik selepas melihat penduduk kampung, bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kerbau dalam MPV yang digunakan geng itu.
Empat lelaki itu bagaimanapun bertindak mencuri dua motosikal penduduk ketika cuba melarikan diri. Kerbau yang cuba dilarikan tersebut berharga antara RM7,000 hingga RM8,000," katanya di sini.
Saidin berkata pemilik kerbau yang berusia 50-an itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan dia juga pernah kehilangan tiga ekor lembu dalam kejadian Ramadan lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya polis juga menerima laporan daripada pemilik kerbau berkenaan.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan polis percaya empat lelaki itu merupakan anggota sindiket mencuri lembu dan kerbau. - Bernama
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2okMtIU
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2AT4pju
via MerahHatiCintaku.blogspot.com