Sebelum ini laman blog The Reporter pernah menyiarkan kisah seorang pembaca yang pernah mengalami pengalaman yang menakutkan di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tasik Raban, Lenggong, Perak. Beberapa penduduk di kawasan itu juga mengesahkan pernah mendengar kisah itu, malah tidak menafikan tempat itu adalah tempat 'keras'.
Memetik laporan dari Sinar Harian Online yang menembual beberapa penduduk di situ berkata, pemaju membina RNR itu di kawasan agak tinggi berhampiran Tasik Raban kerana mahu pengunjung menikmati keindahan Tasik Raban.
RNR Tasik Raban mula beroperasi sejak tahun 2004. Namun RNR itu ditutup kepada orang awam pada tahun 2010 berikutan kekurangan pengunjung dan peniaga juga mula angkat kaki kerana tidak mahu menanggung kerugian berpanjangan.
Setelah tujuh tahun ditutup, pelbagai kisah-kisah misteri yang dilaporkan berlaku di kawasan itu.
Menurut Robaayah Busu Omar, 56, berkata, bukan hentian itu saja berhantu, malah laluan dari hentian itu sehingga persimpangan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong juga ada kisah dan misterinya sendiri.
"Selepas jam 12 tengah malam, seeloknya elakkan melalui jalan itu seorang diri. Jika berdegil, mungkin 'bertuah' dapat melihat makhluk itu memunculkan diri.
"Ada seorang wanita di sini, pakai tudung, kadangkala berjalan kaki, kadangkala diam saja di tepi jalan dan lebih menakutkan, kadangkala dia terbang merentasi jambatan.
"Ada orang kampung pernah jumpa dia duduk di tepi jalan berhampiran hentian. Bila ditegur, dia diam saja. Bila wanita itu palingkan mukanya, memang buruk sungguh rupanya.
"Yang nampak wanita pakai baju putih terbang atas jambatan pun ada tetapi bukan semua yang nampak. Kalau dia nak tunjukkan diri, adalah yang nampak dia nanti," katanya.
Junaidah Che Mai, 40, pula berkata, dia pernah mendengar cerita orang makan di RNR Tasik Raban yang telah ditutup beberapa kali. Namun penduduk kampung tidak pernah mengalaminya kerana hanya orang luar yang singgih di situ.
"Kami tahu hentian itu sudah ditutup, jadi kami memang tak pergi pun. Biasanya yang naik ke sana, golongan muda, ada yang melepak di sana, ada juga yang 'dating'.
"Tetapi kisah wanita itu memang ramai yang bercerita. Ramai juga penduduk kampung pernah jumpa tetapi saya tak pernah jumpa. Tapi ada jugalah kisah misteri pernah berlaku pada saya berhampiran kawasan ini.
"Saya bawa motosikal dalam jam dua pagi. Dari cermin sisi, nampak ada lampu kereta, perlahan saja ikut saya tetapi bila ditoleh, tiada langsung kereta di belakang.
"Lebih menyeramkan, secara tiba-tiba kereta itu berada di sebelah dan bila dipandang ke dalam kereta, tiada sesiapa pun di dalamnya. Masa itu memang takut sangat, tak tahu nak buat apa.
"Kawasan simpang MRSM Lenggong pun agak keras. Baru-baru ini ada kemalangan di situ, dalam beberapa hari nanti muncullah seorang wanita di situ.
"Biasanya memang begitulah. Bila ada saja kemalangan maut, dalam dua ke tiga hari selepas itu, boleh nampak seorang wanita menunggu di tepi jalan, diam saja. Baik jangan tegur, jalan sajalah," katanya kepada wartawan Sinar Harian.
Sementara itu seorang remaja lelaki, Syafiq, 22, mengakui pernah melepak di RNR Tasik Raban bersama beberapa rakannya sebelum laluan masuk RNR itu ditutup sepenuhnya oleh Majlis Daerah Lenggong.
Syafiq berkata, sudah banyak kali dia mendengar kisah misteri di RNR Tasik Raban. Namun dia tidak begitu takut, apatah lagi bila bersama-sama rakannya melepak di situ.
"Kalau ikutkan, saya pun pernah mengalami perkara pelik di sana. Saya pernah dengar bunyi seakan orang berjalan, orang bercakap di belakang kedai yang sudah tidak beroperasi.
"Selalunya bunyi semakin rancak pada waktu senja. Bunyi orang basuh pinggan pun ada kadangkala. Bila dengar bunyi macam itu, kami terus angkat kaki dan tak berani nak lepak lagi.
"Ramai remaja lepak di situ kerana kawasannya memang cantik, boleh nampak Tasik Raban. Sayanglah bila ia ditutup kerana kawasan itu memang unik," katanya.
Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Faizal Nizam Md Nor berkata, hentian itu bakal berubah wajah tidak lama lagi kerana ada sebuah syarikat dari Kuala Lumpur berhasrat memajukan dan mentransformasikan bangunan tersebut dengan nilai pelaburan yang agak besar.
Menurut Faizal, meskipun hentian itu sudah ditutup tujuh tahun lalu, namun mereka masih menjaga kawasan sekelilingnya.
Pihaknya banyak menerima laporan kecurian termasuk aktiviti tidak bermoral di kawasan itu selepas ia ditutup.
"Sebelum ditutup sepenuhnya pada tahun 2010, kita ada benarkan pusat pengajian bertapak di situ. Namun hanya bertahan beberapa bulan.
"Dulu kita tutup dengan batu-batu, tetapi orang alihkan untuk naik ke hentian itu. Sekarang kami tutup sepenuhnya, tiada lagi ruang untuk kenderaan masuk," katanya.
Sumber: The Reporter
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2jUeWAs
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2C6LduR
via MerahHatiCintaku.blogspot.com